PETALING JAYA: Memikat hati pengendali baharu Harimau Malaya, Kim Pan Gon menjadi motivasi buat semua pemain apabila Liga Malaysia (Liga M) 2022 membuka tirai secara rasmi, Jumaat ini.
Jika selama ini pelbagai dakwaan dilemparkan peminat bahawa terdapat unsur ‘pilih kasih’ dalam pemilihan pemain kebangsaan, kehadiran pengendali dari Korea Selatan itu menjadikan persaingan terbuka.
Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir percaya, pemain JDT dan Harimau Selatan sekali lagi menjadi tumpuan kerana kualiti serta persiapan terbaik yang telah dilakukan mereka di luar negara.
Begitupun, sikap terbuka Pan Gon yang sudah memulakan pencarian anggota Harimau Malaya menjadikan pemain Liga M bersemangat bersemangat untuk menyarung jersi negara.
Kejurulatihan
“Semua pemain perlu bekerja keras menunjukkan kemampuan sebab inilah masanya untuk mendapatkan tempat dalam skuad kebangsaan.
“Saya melihat jurulatih baharu bersifat lebih terbuka dan itu menjadikan pemilihan pemain amat sengit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, pemain perlu mencuri perhatian barisan kejurulatihan baharu bermula dalam perlawanan dua minggu pertama Liga M. Ia akan dijadikan platform untuk memilih pemain bagi dipanggil menghadapi dua aksi persahabatan menentang Filipina dan Singapura di Singapura, hujung bulan ini.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi sebelum ini berkata, Pan Gon akan mula mengenal pasti pemain yang dimahukan untuk skuad kebangsaan. Ia bermula dengan perlawanan Sumbangsih di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Kuala Lumpur City (KL City), Sabtu lalu diikuti 12 aksi Liga M bulan ini.
Malaysia dijangka bertemu Filipina pada 23 Mac, diikuti Singapura, tiga hari kemudian dalam perlawanan pertama di bawah Pan Gon sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Piala Asia 2023 di Bukit Jalil, Jun depan.