PETALING JAYA: Liga Malaysia (Liga M) belum pun bermula, lima perlawanan sudah ditunda gara-gara Covid-19 – empat melibatkan aksi Liga Perdana dan satu Liga Super.
Pertemuan Sri Pahang menentang Terengganu FC (TFC) yang dijadual berlangsung di Stadium Darul Makmur, malam esok ditunda selepas 20 pemain serta pegawai Tok Gajah disahkan positif, umum Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam hari ini.
Menurutnya, Sri Pahang yang menjalani tempoh kuarantin bermula hari ini turut memohon penundaan perlawanan menentang Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selasa ini, selain aksi pertama Piala FA bertemu Manjung City FC di Stadium Darul Makmur pada 12 Mac.
Sebentar tadi, Perak FC mengumumkan aksi Liga Perdana di antara Bos Gaurus menentang Kelantan United yang sepatutnya berlangsung di Stadium Perak, Ipoh malam esok ditunda selepas ramai pemain serta pegawai mereka dijangkiti Covid.
Perak FC mengesahkan enam pemain positif Covid-19 dan 14 lagi kontak rapat bergejala, sekali gus turut memaksa mereka menunda aksi Piala FA menentang Kijang Rangers FC di venue yang sama pada 14 Mac ditunda.
Terdahulu, 12 pemain UiTM FC didapati positif Covid-19, manakala baki barisan pemain berstatus kontak rapat bergejala sekali gus menyebabkan pertemuan Liga Perdana menentang Terengganu FC II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu esok dan aksi Piala FA bertemu Kuching City FC pada 15 Mac terpaksa ditunda.
“Prosedur Operasi Standard (SOP) terbaharu MFL adalah kelab hanya layak untuk memohon penangguhan perlawanan sekiranya 50 peratus atau lebih dari jumlah pendaftaran skuad utama bagi pegawai dan pemain yang layak didaftarkan pada hari perlawanan dijangkiti wabak Covid-19 atau kontak rapat bergejala.
“Hari ini kami menerima laporan berhubung pasukan yang berdepan masalah positif Covid-19. Antaranya adalah Sri Pahang FC, Perak FC dan UiTM FC di mana perlawanan ketiga-tiga pasukan ini terpaksa ditunda sehingga mereka selesai menjalani tempoh kuarantin.
“Satu perkhabaran yang amat sukar buat Liga Malaysia yang membuka tirai pada malam ini dan esok. Saya mendoakan kesejahteraan buat Sri Pahang FC, Perak FC, UiTM FC, PDRM FC serta Skuad Projek FAM-MSN dan saya berharap pasukan lain sentiasa mengamalkan SOP bagi memastikan kejadian tidak diingini berlaku pada masa akan datang.
“MFL ingin merakamkan penghargaan kepada kelab-kelab yang mengambil tindakan pantas dalam isu gejala COVID-19 ini. Ia membuktikan SOP membabitkan sukan bola sepak berada penyeliaan di peringkat tertinggi bagi memastikan industri Liga Malaysia bebas daripada ancaman wabak ini,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.
Semalam, MFL mengumumkan dua aksi Liga Perdana iaitu perlawanan Selangor II dan Skuad Projek FAM-MSN di Stadium UiTM Shah Alam esok dan PDRM FC menentang Kuching City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Isnin ini terpaksa ditunda juga kerana jangkitan Covid-19. – UTUSAN ONLINE