PETALING JAYA: Remaja wanita berusia 17 tahun, Nur Dini Uzma Abdullah antara lima pelumba yang bakal menggalas cabaran pasukan Tobaki Pink Racing pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022.
Bakal membuat penampilan untuk musim kedua, Pink Racing yang berjaya mencatat tiga keputusan podium tahun lalu menerusi Harith Farhan Baharin mengharapkan dua pelumbanya yang bersaing dalam kelas CP125 dapat mengutip mata bagi setiap pusingan yang disertai.
Selain Nur Dini yang bersaing dalam kategori Wira dan Harith Farhan (CP125), Pink Racing turut mempertaruhkan Saiful Azhary Mohamad (CP125), selain Danny Mikhail Khairul Fauzi dan Muhammad Irfan Danish Afran yang bersaing dalam perlumbaan Wira.
“Bagi penyertaan musim kedua ini, saya berharap mereka berada dalam kelompok yang mampu menghadirkan mata kepada pasukan.
“Harapan utama adalah kepada Harith kerana kita memang sasarkan dia untuk memberikan saingan,” kata pemilik pasukan, Nur Atikah Azwar dalam majlis memperkenalkan pelumba dan Tobaki sebagai penaja utama pasukan itu di sini, semalam.
Turut hadir Pengarah Urusan/Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd., Mohamad Azlan Jaafar yang mewakili Kosmo! sebagai akhbar rasmi Pasukan Pink Racing.
Mengulas lanjut mengenai persiapan pasukannya menjelang musim baharu, Nur Atikah memberitahu, untuk perlumbaan tahun ini, dia meletakkan harapan yang agak tinggi kepada pelumba-pelumbanya.
Katanya, pelumba-pelumba Pink Racing juga bebas untuk bersaing dalam perlumbaan tanpa arahan tertentu daripada pasukan.
“Kami layan semua pelumba sama rata, tiada arahan siapa yang duduk belakang dan siapa pula berada di hadapan,” tegasnya.
Katanya, pemilihan Nur Dini bersama pasukan diharap dapat menarik lebih ramai wanita melibatkan diri dalam sukan pemotoran.