'Selesaikan kerja di bendang dulu baru boleh main bola' - Utusan Malaysia

‘Selesaikan kerja di bendang dulu baru boleh main bola’

TAN CHENG HOE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

“Kalau nak main bola, kena bagi habis kerja di bendang (sawah padi) dulu.”

Itu kata-kata yang sering diungkapkan mendiang Tan Chooi Siak, bapa kepada bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang sehingga hari ini masih bermain di fikirannya.

Cita-cita Cheng Hoe untuk menjadi pemain bola pada mulanya tidak mendapat sokongan orang tuanya, namun keinginan tinggi yang ditunjukkan akhirnya melembutkan hati mereka.

“Ikutkan pada awalnya ibu bapa saya tidak sokong saya bermain bola kerana setiap kali kena tolong ayah turun ke bendang (sawah padi) bekerja. Syarat yang diletakkan adalah habiskan kerja di bendang dulu baru boleh main bola.

“Bila dilahirkan dalam keadaan serba kekurangan, ia buat mental saya kuat,” katanya yang turut berpegang kepada falsafah ikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.

Kesusahan dan serba kekurangan semasa kecil mengajar Cheng Hoe erti ketabahan serta tidak berputus asa, ikhlas, jujur selain memiliki mental yang kuat walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang karier sebagai pemain dan jurulatih.

Membesar di Kampung Gunung Keriang, Alor Setar Kedah iaitu tempat yang di kelilingi sawah padi, Cheng Hoe merupakan anak kepada pesawah, manakala ibunya Neoh Beng Eng suri rumah sepenuh masa.

Cheng Hoe anak keenam daripada lapan adik-beradik telah menanam cita-cita untuk menjadi pemain profesional sejak berusia sembilan tahun lagi.

Mengimbau kembali kasut pertama dipakainya iaitu kasut bola toyu (kasut getah) ketika bermain bola itupun tidak mampu dibeli dan Cheng Hoe hanya meminjamnya.

“Saya lahir bukan dalam keluarga kaya dan memang tak mampu nak beli kasut bola. Jadi pinjam dengan kawan itu sebab menjadi dorongan utama untuk saya menjadi seorang pemain profesional yang berjaya,” jelasnya.

Ketika ditanya apa cita-cita semasa sekolah, Cheng Hoe menegaskan sebenarnya dia ingin menjadi tentera atau polis dan minat itu tercetus kerana menonton cerita perang.

“Cita-cita saya masa sekolah nak jadi polis atau tentera sebab masa itu saya suka tengok gambar (filem) kombat Amerika lawan Jerman cerita perang dan drama bersiri itu bagi saya inspirasi untuk berkerja,” ujarnya.

Menyingkap kejayaan pertama dalam karier bola sepaknya adalah muncul juara ketika mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gunung dalam kategori bawah 15 tahun bagi peringkat daerah Kota Setar.

KETIKA menjadi Ketua Jurulatih Kedah. 

Kejayaan itu membolehkan dia diserap ke Kolej Sultan Abdul Hamid iaitu sekolah projek bola sepak dan cukup terkenal dalam melahirkan bintang bola sepak Kedah.

Daripada situ bakatnya berkembang sebagai pemain apabila diserapkan dalam skuad Piala Razak 1985 bersama pasukan Kedah.

Pada 1988, bakatnya dihidu Datuk Ahmad Shafie yang merupakan jurulatih Kedah ketika itu untuk diserap dalam skuad utama.

“Daripada situ saya sudah mula bersama pemain-pemain yang lebih dikenali seperti Ahmad Sobri, Lee Kin Hong, Radhi Mat Din, Azmi Mahmud, K. Ravichandran, Husin Jaafar dan ramai lagi.

“Saya bertuah dapat bersama bintang Kedah dan lebih manis pasukan ini layak tiga kali berturut-turut di final Piala Malaysia pada masa itu (1988,1989, 1990).

“Tentunya kenangan paling manis apabila Kedah muncul juara Piala Malaysia buat kali pertama pada 1990 dan saya bersama pasukan itu.

“Pada 1989 saya dan tiga rakan lain menjadi kumpulan pertama menandatangani kontrak sebagai pemain semi-pro masa itu di bawah pengurus Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil dan itu kontrak pertama saya sebagai pemain bola sepak,” ujarnya.

TAN Cheng Hoe ketika memberi amanat kepada pemain kebangsaan.

Begitupun, ketika prestasinya memuncak bermula 1990, Cheng Hoe terpaksa menggantung but selama dua tahun akibat kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) serius yang dialaminya pada tahun 1992.

Begitupun, semangat kuat untuk terus bermain menyaksikan Cheng Hoe kembali bermain tetapi bermula dengan pasukan Liga Amatur FAM sebelum berhijrah mewakili Perlis, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kelantan sebelum kembali bersama Kedah pada 2000.

Tahun 2001 menjadi permulaan kariernya sebagai jurulatih apabila menjadi pembantu kepada Jorgen E. Larsen (bekas jurulatih Kedah) dan kerjaya itu diteruskan sehingga kini.

Meskipun telah meletak jawatan sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya bulan lalu, namun beliau berharap untuk terus melatih selepas ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN