Aidil belum mahu dedah kapten Kedah - Utusan Malaysia

Aidil belum mahu dedah kapten Kedah

Kedah bersedia memberi saingan sengit kepada JDT dalam perebutan kejuaraan Liga Super tahun ini.- IHSAN Kedah Darul Aman FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Siapa bakal menyarung lilitan kapten di lengan untuk Kedah Darul Aman FC (KDA FC) musim ini?

Persoalan itu masih belum terjawab setelah legenda KDA FC, Baddrol Bakhtiar yang memegang peranan itu sejak sekian lama, berhijrah ke Sabah FC musim ini.

Dengan keputusan penuh berhubung perkara tersebut terletak kepada Ketua Jurulatih, Aidil Sharin Sahak, pengendali kelahiran Singapura itu nyata masih belum bersedia mendedahkan pilihannya buat masa ini.

“Calonnya sudah ada tetapi saya tak akan dedahkan sekarang.

“Apabila tiba masanya nanti, saya akan maklumkan. Buat masa sekarang, saya tak mahu ada dalam kalangan pemain yang merasa terlalu selesa dengan prestasi dipamerkan,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini, lilitan lengan kapten itu silih berganti antara beberapa pemain antaranya Rodney Celvin, Marc Vales, Syazwan Zainon, Amirul Hisyam Awang Kechik, Muhammad Fayadh Zulkifli serta Azamuddin Akil.

Berdasarkan senarai pemain yang ada, Aidil dijangka tidak berdepan masalah untuk membuat pilihan. Ini memandangkan rata-rata pemain dimilikinya termasuk mereka yang baru ditandatangani, memiliki kebolehan untuk menjadi pemimpin di tengah padang.

Persiapan

Mengulas mengenai persiapan pasukan menjelang pembukaan musim baharu, Aidil berkata, beliau kini cuba menerapkan ‘sistem’ baharu kepada anak-anak buahnya dengan memberi penekanan secara berfasa kepada para pemain.

“Sekarang kami berada pada fasa kedua yang memberi lebih tumpuan kepada kombinasi permainan serta penyempurnaan di bahagian serangan.

“Kami terus berusaha menambah baik pasukan ini dengan menerapkan sistem baharu dan para pemain mungkin mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri.

“Namun saya yakin kalangan pemain ini mampu melakukannya termasuk pemain-pemain baharu dalam pasukan,” ujarnya.

Aidil dalam pada itu jelas gembira dengan ruang dimilikinya dalam mempersiapkan pasukan untuk musim ini.

“Saya fikir persiapan kami kali ini jauh lebih baik berbanding musim lalu kerana kami memiliki ruang seluas-luasnya untuk berlatih.

“Tidak seperti musim lalu di mana latihan tidak dapat disempurnakan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tahun ini kita berpeluang melakukan persiapan lebih dengan lebih baik dan lengkap,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN