MELBOURNE: Status Novak Djokovic untuk mempertahankan kejuaraan tenis Terbuka Australia semakin samar selepas pemain No. 1 dunia itu dilarang memasuki Melbourne biarpun sudah mendarat di lapangan terbang.
Bintang Serbia itu sudah tiba di Melbourne petang semalam selepas memberitahu di media sosial yang dia mendapat pelepasan perubatan untuk beraksi di kejohanan itu tanpa bukti sudah sepenuhnya mengambil vaksin Covid-19.
Pelepasan yang diberikan oleh penganjur Terbuka Australia selepas permohonannya dipertimbangkan dua panel perubatan itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat Australia yang melalui sekatan pergerakan selama dua tahun akibat Covid-19.
Bagaimanapun juara Terbuka Australia sembilan itu akhirnya tidak dapat memasuki Australia.
“Djokovic gagal memberikan bukti yang diperlukan untuk memenuhi syarat kemasukan ke Australia dan visanya kemudiannya dibatalkan.
“Bukan warganegara yang tidak memegang visa masuk secara sah atau yang dibatalkan visa mereka, akan ditahan dan dikeluarkan dari Australia,” kata Pasukan Sempadan Australia dalam satu kenyataan. – AGENSI