MELBOURNE: Novak Djokovic meninggalkan Australia malam tadi selepas mahkamah mengekalkan keputusan kerajaan untuk membatalkan visanya, sekali gus menamatkan drama mengenai isu kemasukannya yang tidak divaksin ke negara itu.
Keputusan sebulat suara oleh tiga hakim Mahkamah Persekutuan memadam impian Djokovic untuk mempertahankan kejuaraan Grand Slam Terbuka Australia yang akan membuka tirainya hari ini.
Bintang tenis Serbia itu menuju ke lapangan terbang beberapa jam selepas keputusan mahkamah dikeluarkan dengan diiringi ejen persekutuan bermula dari bilik rehat sehinggalah ke balai pelepasan.
Djokovic menaiki penerbangan Emirates ke Dubai dan waktu penerbangannya adalah 11 malam waktu tempatan.
Jaguh No. 1 dunia itu sebelum ini ditahan imigresen Australia pada 6 Januari sebelum dibebaskan atas arahan mahkamah empat hari kemudian dan ditahan kembali pada Sabtu untuk pendengaran kes di mahkamah.
“Saya menghormati keputusan mahkamah dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk meninggalkan negara ini,” kata Djokovic dalam satu kenyataan.
Djokovic mengemukakan rayuan terhadap Menteri Imigresen, Alex Hawke yang menggunakan kuasanya untuk membatalkan visa pemain itu.
Hawke menjelaskan Djokovic mampu memberi ancaman kepada masyarakat kerana kehadirannya akan menggalakkan sentimen antivaksin khususnya selepas Australia berdepan peningkatan mendadak kes Covid-19. – AGENSI