fbpx

Amukan 7-0 tak mungkin berulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp tidak menjangkakan pasukannya akan mengu­la­ngi ‘amukan’ 7-0 di Crystal Palace musim lalu apabila ke­dua-dua pasukan berentap sekali lagi dalam aksi Liga Perdana Inggeris hari ini.

Kata Klopp, kemenangan besar tersebut keputusan yang ‘jarang berlaku’ dan Palace sudah mencatat kestabilan di bawah kendalian Patrick Vieira, malah menjangkakan pertarungan sengit menentang kelab tangga ke-11 itu.

“Itu (kemenangan 7-0) antara perlawanan yang sukar diulangi. Ia antara ‘hari-hari aneh’ dan tidak selalunya berlaku.

“Mereka telah berubah dan bertambah baik. Mereka kelihatan seperti pasukan yang sangat stabil sekarang.

“Palace pasukan Liga Perdana yang sangat bagus tetapi kurang bernasib baik dalam beberapa perlawanan hingga tidak berada pada kedudukan yang sepatutnya,” kata Klopp.

JURGEN KLOPP

Biarpun kehilangan trio Mohamed Salah, Sadio Mane dan Naby Keita yang menggalas tugasan antarabangsa dalam Piala Negara-Negara Afrika, Reds tetap tampil dengan keyakinan tinggi apabila melangkah ke final Piala Liga selepas menewaskan Arsenal 2-0, Khamis lalu.

“Kami berada dalam keadaan amat bagus ketika ini tetapi kami berdepan suasana dan pertan­dingan berbeza apabila bertemu Crystal Palace,” kata Klopp.

Kata Klopp, pemain tengah, Harvey Elliott belum boleh diturunkan biarpun sudah kembali ke sesi latihan selepas berehat lima bulan ­akibat pembedahan buku lali.

“Dia bintang muda yang amat berbakat.

“Dia telah berehat untuk tempoh yang lama, jadi kami tidak boleh terlalu tergesa-gesa, namun dia kelihatan seperti sudah bersedia untuk bermain,” kata­nya.– AGENSI

POPULAR

KOSMO! TERKINI