Sherman kini milik Terengganu FC - Utusan Malaysia

Sherman kini milik Terengganu FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Penyerang berbisa kelahiran Liberia, Kpah Sherman sah mengetuai jentera serangan Terengganu FC (TFC) pada musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Ab. Rasid Jusoh berkata, bekas pemain Kedah Darul Aman (KDA) itu menyertai Sang Penyu dengan kontrak setahun dan akan diperkenalkan secara rasmi tidak lama lagi.

“Corak permainan Terengganu FC di samping potensi pasukan memburu kejuaraan musim depan menarik minat Sherman untuk bersama kita,” katanya ketika dihubungi semalam.

Musim ini, Sherman mencetak 19 gol dalam saingan liga dan Piala Malaysia selain membantu skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu muncul naib juara Liga Super dua tahun berturut-turut.

Sementara itu, Sherman menyifatkan penghijrahannya pada 2022 tepat pada masa, malah menyasarkan untuk menjulang trofi memandangkan majoriti pemain semakin serasi setelah bersama sejak tiga tahun lalu.

“Saya tidak sabar untuk menyertai sesi latihan dan menyarung jersi bernombor sembilan bersama Terengganu FC,” katanya.

Terdahulu, Terengganu FC mengumumkan hanya tiga pemain import dikekalkan bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim depan iaitu Jordan Mintah, Habib Haroon dan Argzim Redzovic.

Antara pemain lain yang masih menyarung jersi Sang Penyu ialah Mohd. Faiz Nasir, Azarul Nazarith Azhar dan penjaga gol, Mohd. Suhaimi Husin.

Kapten, Carli De Murga antara enam pemain yang meninggalkan Terengganu FC di samping David Da Silva, Makan Konate, Dechi Marcel, Nasir Basharudin dan Muhammad Mohd. Fauzi.

Antara nama-nama yang disebut bakal menjadi keluarga baharu Sang Penyu ialah Nor Azam Azih (Sri Pahang), Manuel Ott (Melaka United) dan pemain Ratchaburi FC, Luke Woodland.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya