Malaysia rangkul kejuaraan berganda - Utusan Malaysia

Malaysia rangkul kejuaraan berganda

PASUKAN lelaki negara mengalahkan India 2-1 untuk merampas kembali kejuaraan yang kali terakhir dimenangi pada 2008. - IHSAN TEAM MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mengulangi pencapaian gemilang 2008 apabila mengungguli gelaran berganda lelaki dan wanita pada Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia hari ini.

Beberapa jam selepas pasukan wanita merampas kejuaraan daripada juara bertahan Hong Kong dengan kemenangan 2-1, skuad lelaki mengikut jejak mereka apabila menumpaskan pilihan pertama, India juga menerusi keputusan 2-1.

Ini adalah kejuaraan keempat buat skuad lelaki negara dalam sejarah kejohanan, namun yang pertama sejak kali terakhir muncul juara di Kuwait pada 2008 iaitu tahun di mana Malaysia pulang bersama gelaran berganda.

Dalam aksi di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil itu, Malaysia bermula langkah kanan apabila Ng Eain Yow menghadiahkan mata sulung dengan menumpaskan Saurav Ghosal 12-10, 11-4, 11-8.

India bagaimanapun mengikat kedudukan 1-1 apabila Mohammad Syafiq Kamal gagal mengatasi Mahesh Mangaonkar selepas tunduk 9-11, 7-11, 8-11.

Ivan Yuen memastikan kemenangan milik Malaysia selepas menundukkan Ramit Tandon 11-8, 8-11, 11-3, 11-1.

SKUAD wanita negara merampas kejuaraan daripada Hong Kong. – IHSAN TEAM MALAYSIA

Terdahulu dalam saingan wanita, Malaysia yang turun dengan reputasi juara sembilan kali mengutip mata pertama menerusi ketua pasukan, Rachel Arnold yang menewaskan Liu Tsz Ling 11-6, 8-11, 11-7, 11-2.

Hong Kong mengikat kedudukan 1-1 selepas Nor Ainaa Amani Apandi tewas 8-11, 6-11, 11-6, 9-11 kepada Ho Tze Lok 8-11, 6-11, 11-6, 9-11.

Pemain remaja sensasi, Aifa Azman yang bakal menyambut ulang tahun ke-20 pada 18 Disember ini melengkapkan tahun gemilangnya dengan menghadiahkan mata kemenangan dengan mudah menumpaskan Tong Tsz Wing 11-4, 11-3, 11-6.

Tahun 2021 nyata detik bertuah buat pemain kelahiran Kedah itu yang masih segar dengan kejayaan muncul juara Terbuka Malaysia, minggu lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.