2021 tahun bertuah Aifa - Utusan Malaysia

2021 tahun bertuah Aifa

AIFA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tahun 2021 musim paling bertuah buat Aifa Azman apabila memimpin skuad wanita Malaysia menjuarai Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia selepas me­nundukkan juara bertahan, Hong Kong 2-1 dalam final semalam.

Dalam saingan di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil itu, pasukan negara yang turun ­dengan reputasi juara sembilan kali bermula langkah kanan apabila mengutip mata pertama menerusi kapten, Rachel Arnold yang menewaskan Liu Tsz Ling 11-6, 8-11, 11-7, 11-2.

Hong Kong bagaimanapun mengikat kedudukan 1-1 apabila Nor Ainaa Amani Apandi tewas 8-11, 6-11, 11-6, 9-11 kepada Ho Tze Lok 8-11, 6-11, 11-6, 9-11.

Aifa yang bakal menyambut ulang tahun ke-20 pada 18 ­Disember ini memastikan kemenangan Malaysia dengan mudah menumpaskan Tong Tsz Wing 11-4, 11-3, 11-6.

Pemain kelahiran Kedah itu sebelum ini mengejutkan peminat skuasy dengan merangkul gelaran Terbuka Malaysia ­minggu lalu selepas menundukkan jaguh No.8 dunia dari Mesir, Salma Hany.

SKUAD wanita negara merampas kejuaraan daripada Hong Kong.

“Tentunya sangat gembira berjaya membantu pasukan negara memenangi kejohanan ini. Selepas melihat Ainaa tewas, saya berasa sedikit gemuruh, namun semangat untuk menang tetap membara.

“Bermula di set pertama saya terus memberi tekanan kepada lawan dan keyakinan mula meningkat selepas menang dan ia diteruskan dalam set berikutnya,” katanya selepas tamat perlawanan itu.

Aifa juga mengakui sedikit keletihan selepas baru menghabiskan kempen Terbuka Malaysia, namun tetap bersemangat tinggi untuk menghadiahkan kejayaan buat pasukan.

“Memang ada rasa penat sedikit sebab baru sahaja menamatkan kejohanan Terbuka Malaysia minggu lepas.

“Sangat gembira memiliki pasukan yang terbaik dan ­paling manis dapat menang bersama pasukan,” jelasnya.

Kemenangan itu menamatkan penantian lima tahun Malaysia sejak kali terakhir muncul juara berpasukan wanita pada 2016.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya