Ziyad memang tiba lewat - Utusan Malaysia

Ziyad memang tiba lewat

MUHAMMAD ZIYAD ZOLKEFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Muhammad Ziyad Zolkefli mungkin sukar untuk mendapatkan semula pingat emas yang ‘hilang’  selepas jaguh lontar peluru para negara itu terbukti lewat tiba di bilik menunggu dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Rumusan itu dibuat Jawatankuasa Siasatan Dalaman dalam laporan yang diserahkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ahmad Faizal dalam satu kenyataan berkata, jawatankuasa siasatan yang dipengerusikan Tan Sri Borhan Dolah itu mendapati jurulatih dan atlet berkenaan tidak dapat membuktikan mereka tiba pada waktu ditetapkan untuk pendaftaran di bilik menunggu biarpun kedua-duanya menganggap mereka tiba tepat pada waktunya.

Menurut beliau, ia berdasarkan daripada sesi temubual dan dokumen-dokumen yang diperoleh oleh pihak jawatankuasa berkenaan.

“Walaupun terpaksa menerima keputusan yang dibuat oleh Olahraga Para Dunia (WPA) bagi isu Ziyad, pihak persatuan Olahraga Para Malaysia dan Majlis Sukan Negara akan tetap mengemukakan pandangan Malaysia ekoran kekeliruan peraturan teknikal Para Olahraga khususnya mengenai peraturan ‘Did Not Start’ (DNS) yang dikenakan kepada atlet para olahraga.

“Seperti kita sedia maklum, pegawai teknikal menegaskan Ziyad dan dua atlet lain iaitu dari Australia dan Ecuador melewati tempoh masa melaporkan diri tetapi masih dibenarkan beraksi,” kata Ahmad Faizal hari ini. 

Ahmad Faizal berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memandang serius isu berkenaan dan mahu semua pihak harus lebih bertanggungjawab pada masa akan datang.

“KBS juga akan memastikan tindakan susulan yang wajar diambil oleh atlet, jurulatih dan juga pegawai khususnya bagi tujuan kesedaran, pengajaran, penambahbaikan dan rujukan agar perkara seperti ini tidak berulang lagi.

“Meskipun begitu, lontaran yang dibuat oleh Ziyad di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 akan dihargai,” katanya.

Ziyad gagal pertahankan emas dan rekod dunia yang dilakukannya di Tokyo pada 31 Ogos lalu dengan catatan 17.94 meter (m) selepas penyertaannya diklasifikasikan sebagai DNS (tidak bermula) susulan protes yang dilakukan Ukraine disebabkan kelewatannya tiba di bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya