MANCHESTER: Ole Gunnar Solskjaer hampir menangis ketika diwawancara sejurus selepas pemecatannya sebagai pengurus Manchester United kelmarin.
Biarpun kem United masih suram, namun kelab itu tidak boleh berlengah dengan segera mencari pengurus baharu.
Brendan Rodgers menjadi jurulatih pertama dihubungi Red Devils, manakala Cristiano Ronaldo mencadangkan Luis Enrique sebagai pengganti.
Kekalahan 4-1 kepada Watford dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu membawa kepada pemecatan Solskjaer, yang gagal memenangi sebarang trofi selepas tiga tahun membimbing United.
Semalam, dia memberi wawancara terakhir yang penuh emosi sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada kelab.
“Saya akan keluar melalui pintu depan kerana semua orang tahu saya telah mencurahkan segala-galanya buat kelab ini.
“Manchester United memberi makna segala-galanya kepada saya. Kami pernah mengharungi perlawanan yang baik tetapi malangnya saya tidak mampu mencapai keputusan yang diperlukan dan sudah tiba masanya untuk saya ke tepi,” katanya kepada MUTV.
Beberapa pemain sering mengundang masalah kepada Solskjaer tetapi pengurus berusia 48 tahun itu langsung tidak mengungkit detik-detik gelap mereka.
Michael Carrick akan bertindak sebagai ketua jurulatih sementara, namun United menyenarai pendek lima calon pengurus baharu diketuai Zinedine Zidane, Rodgers, Enrique, Erik Ten Hag dan Mauricio Pochettino. – AGENSI
5 CALON PENGURUS UNITED
ZINEDINE ZIDANE
Zinedine Zidane menjadi sasaran No. 1 Manchester United untuk mengembalikan kegemilangan mereka.
Kehadiran Cristiano Ronaldo dan Raphael Varane diharap mampu memujuk legenda Real Madrid serta Perancis itu.
Zidane, 49, yang telah memenangi tiga trofi Liga Juara-Juara dan dua La Liga ketika membimbing Real bagaimanapun tidak berminat dengan idea mengambil alih kelab di pertengahan liga, selain dikatakan tidak yakin dengan hala tuju Red Devils.
BRENDAN RODGERS
SUDAHPUN membayar pampasan 7.5 juta (RM42.16 juta) kepada Solskjaer, United perlu mengeluarkan 8 juta pound (RM44.97 juta) jika mahu mendapatkan Rodgers daripada Leicester.
Berada dalam radar United sejak awal musim, dia bagaimanapun bukan calon kegemaran peminat kerana pernah membimbing musuh mereka, Liverpool.
Rodgers, 48, membawa Leicester muncul juara Piala FA musim lalu, namun pasukannya bergelut ketika ini, di mana kekalahan 0-3 kepada Chelsea, Sabtu lalu meletakkan mereka di tangga ke-12 liga.
ERIK TEN HAG
Pengendali dari Belanda itu antara jurulatih terbaik Eropah dan sudah membawa Ajax ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara musim ini.
Erik Ten Hag, 51, mula dikaitkan dengan United selepas membawa Ajax mara ke separuh akhir saingan elit Eropah musim lalu.
Bekas jurulatih remaja Bayern Munich itu dikatakan amat sesuai dengan corak menyerang Red Devils.
LUIS ENRIQUE
Bekas pengurus Barcelona, Roma dan Celtic, Luis Enrique dicadangkan oleh Ronaldo.
Dia mampu mengendalikan individu pelbagai personaliti, malah memenangi gelaran treble pada musim pertama di Barcelona bersama Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar.
Fasih berbahasa Inggeris, cabaran untuk mendapatkan jurulatih berusia 51 tahun itu, dia masih melatih Sepanyol yang sudahpun meraih tiket ke Piala Dunia 2022.
MAURICIO POCHETTINO
Jurulatih kelahiran Argentina , Mauricio
Pochettino menjadi sebutan penyokong untuk menggantikan Solskjaer selepas dipecat Tottenham pada 2019.
Bagaimanapun selepas membimbing Paris Saint-Germain (PSG) dan meletakkan gergasi Perancis itu mendahului Ligue 1 dengan kelebihan 11 mata, amat sukar untuk membawanya ke Old Trafford.