'Saya reda, ambil ia sebagai pengajaran' - Utusan Malaysia

‘Saya reda, ambil ia sebagai pengajaran’

MUHAMMAD ZIYAD ZOLKEFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Muhammad Ziyad Zolkefli menerima dengan hati terbuka keputusan Jawatankuasa Siasatan Dalaman yang merumuskan dia dan jurulatihnya tiba lewat di bilik menunggu sehingga penyertaannya dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dibatalkan.

Jaguh lontar peluru para negara itu berkata, dia enggan memanjangkan insiden yang dianggap ‘detik hitam’ dalam kariernya, sambil mengambil ikhtibar atas apa yang berlaku.

“Ingin saya nyatakan, saya menerima keputusan siasatan itu dengan hati terbuka,” kata Ziyad dalam satu hantaran video menerusi Majlis Sukan Negara (MSN).

Kata Ziyad, 31, dia bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku walaupun keadaan ketika itu amat menyukarnya.

“Saya dan jurulatih mempertahankan dakwaan kami tetapi kami mengakui, tanpa kami sedari, kami melakukan kekhilafan seperti didakwa. Maafkan kami sebab kecewakan semua dan percayalah kami tak mahu keadaan seperti itu. Kami akan jadikan kekhilafan itu sebagai pengajaran pada masa akan datang.

“Saya harap isu ini tidak dispekulasikan dan dibangkitkan oleh mana-mana pihak. Tak ada siapa patut dipersalahkan kerana kalau ada pun kesilapan adalah atas kelemahan diri kami sendiri.

“Buat masa ini, saya lebih fokus untuk meneruskan latihan seperti biasa sebagai persediaan bagi temasya akan datang. Insya-Allah, keputusan ini tidak melemahkan semangat dan memberi motivasi kepada saya untuk menghasilkan keputusan lebih baik di masa akan datang,” katanya.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam satu kenyataan berkata, hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Dalaman yang dipengerusikan Tan Sri Borhan Dolah mendapati, Ziyad dan jurulatihnya, Mohd. Faizol Harun tidak dapat membuktikan mereka tiba pada waktu ditetapkan untuk pendaftaran di bilik menunggu.

Akibatnya, Ziyad terlepas pingat emas dan rekod dunia yang dilakukan dalam temasya Tokyo 2020 selepas penyertaannya diklasifikasikan sebagai DNS (tidak bermula) susulan protes dilakukan oleh Ukraine.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.