LONDON: Pemain remaja sensasi, Emma Raducanu menegaskan, dia mahu kekal fokus dalam karier tenisnya selepas dihimpit kritikan hebat susulan terkeluar daripada kejohanan Upper Austria Ladies Linz kelmarin.
Turun sebagai pilihan utama, Raducanu bagaimanapun tersungkur seawal pusingan pertama 1-6, 6-7 (0/7), 5-7 kepada pemain China, Wang Xinyu di TipsArena Linz.
Ujar Raducanu, dia sentiasa kekal positif dan sudah menjangkakan ‘serangan’ tersebut akan muncul sejak memenangi Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada September lalu.
“Saya fikir ramai orang yang akan mempunyai pendapat tentang saya dan apa yang saya lakukan. Apa yang saya tahu, saya mahu kekal fokus dengan semua orang yang ada di sekeliling saya.
“Saya mempunyai ibu bapa, di mana mereka akan 100 peratus memberi nasihat kepada saya jika saya terpesong dari misi saya. Saya rasa selesa berada dalam zon sebegini,” kata Raducanu.
Jurulatih skuad ragbi England, Eddie Jones antara yang tampil mengkritik prestasi pemain berusia 18 tahun itu selepas tersungkur di Upper Austria Ladies Linz, termasuk Terbuka Transylvania bulan lalu.
“Perkara yang terbesar dihadapi pemain muda adalah gangguan…gangguan di mana mereka terdedah kepada media, menerima pujian dan juga kritikan. Ada sekumpulan ejen yang melihat mereka ini sebagai aset terpenting.
“Itu yang berlaku terhadap pemain tenis muda yang memenangi Terbuka AS tempoh hari apabila dia gagal untuk memperoleh kejayaan selepas itu,” kata jurulatih tersebut. – AGENSI