fbpx

Pemain muda julang Arsenal

BUKAYO Saka meraikan gol pembukaan Arsenal di Stadium Emirates, London.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Dua pemain muda, Bukayo Saka dan Gabriel Martinelli membawa Arsenal menghampiri kelompok empat terbaik selepas meledak gol ketika Gunners menumpaskan kelab tercorot, Newcastle 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi.

Kedua-dua jaringan hadir dalam tempoh 10 minit babak kedua, sekali gus membolehkan Arsenal berkongsi 23 mata bersama pasukan tangga keempat, West Ham.

Kemenangan itu juga membolehkan Gunners bangkit daripada kekalahan 0-4 kepada Liverpool dalam aksi terakhir liga minggu lalu.

BUKAYO Saka beraksi cemerlang dalam aksi menentang Newcastle.

Saka, 20, beraksi cemerlang sejak permainan dan melakukan hantaran cantik untuk ditanduk Emile Smith Rowe, namun percubaan itu diselamatkan penjaga gol, Martin Dubravka.

Arsenal turut memperoleh peluang terbaik menerusi Pierre-Emerick Aubameyang tetapi tendangannya terkena palang.

Newcastle turut memperoleh peluang terbaik menerusi Jonjo Shelvey, namun sepakan cantiknya sedikit melewati palang.

Selepas babak pertama tamat tanpa jaringan, benteng Newcastle akhirnya diuji pada separuh masa kedua.

MASUK sebagai pemain gantian Gabriel Martinelli meledak gol kedua Arsenal.

Selepas melakukan 14 hantaran, Nuno Tavares, 21, melakukan tendangan cantik yang disempurnakan oleh Saka untuk gol pembukaan Arsenal pada minit ke-56.

Malangnya Saka terpaksa dikeluarkan tidak lama selepas meledak gol ekoran kecederaan pinggang.

Penggantinya, Martinelli, yang juga berusia 20 tahun berjaya membawa impak dengan menyudahkan hantaran Takehiro Tomiyasu hanya dua minit selepas berada di atas padang.

Kemenangan itu pastinya meningkatkan keyakinan Arsenal apabila bertandang ke Old Trafford untuk berdepan Manchester United, Khamis ini.

Newcastle pula akan menerima kunjungan satu lagi pasukan bermasalah, Norwich, Rabu ini. – AGENSI

POPULAR

KOSMO! TERKINI