Isu gaji pasukan bola sepak ibarat barah yang sukar disembuhkan - Utusan Malaysia

Isu gaji pasukan bola sepak ibarat barah yang sukar disembuhkan

SHEBBY SINGH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sikap tidak ‘mengukur baju di badan sendiri’, selain diburukkan de­ngan pandemik Covid-19 menyebabkan isu tunggakan gaji terus membayangi kelab Liga Malaysia biarpun semua pasukan sudah melalui proses pen­swastaan penuh.

Tidak terkejut apabila Kedah, Perak dan Sarawak United dikaitkan dengan masalah gaji, pengkritik bola sepak tanah air, Serbegeth Singh atau lebih dikenali sebagai Shebby menganggap masalah itu sudah menjadi ‘barah’ dan mengambil masa untuk sembuh.

Katanya, Covid-19 mungkin boleh dijadikan alasan kukuh buat segelintir pasukan, namun situasi sama sebenarnya ber­ulang setiap tahun cuma alasannya berbeza.

“Walaupun swasta, ia hanya pertukaran nama di atas kertas tetapi yang lain-lain sama inilah buktinya (tunggakan gaji berlaku lagi). Memang tidak hairan masalah ini berterusan, cuma ada alasan baharu iaitu Covid-19.

“Tukar daripada Persatuan (FA) ke kelab (FC) tapi guna orang sama, polisi sama, sumber kewangan yang sama jadi tiada perbezaan.

“Selagi pentadbiran dalam pasukan itu tidak berubah sepenuhnya, masalah ini akan terus berlaku. Saya sendiri tidak boleh jangka bila (tunggak gaji) akan berakhir tetapi perkara ini tidak harus berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau turut menegur sesetengah pasukan yang berdegil menandatangani pemain bergaji besar sedangkan sumber kewangan terhad.

“Kalau tak mampu bayar gaji pemain itu lepaskan sahaja cari pemain yang mampu dengan bajet pasukan, jangan ambil risiko berhutang keliling pinggang. Guna bajet tahunan ikut kemampuan,” ujarnya.

Beliau mencadangkan pa­sukan agar mula membuka perniagaan bagi menjana pendapatan dan tidak hanya bergantung kepada penajaan, dana kerajaan atau sebagainya.

“Buatlah perniagaan kecil-kecilan pun sudah cukup sedikit sebanyak mendatangkan pendapatan kepada pasukan. Biar sikit janji ada.

“Jangan hanya bergantung kepada penajaan, dana kerajaan negeri atau sebagainya.

“Kita bukan macam kelab EPL (Liga Perdana Inggeris), Bundesliga, Serie A atau La Liga.

“Belajar daripada pasukan-pasukan di divisyen tiga atau empat liga tersebut, macam mana mereka jalankan operasi, pentadbiran dan urus sumber kewangan.

“Ini tidak, nak contohi kelab-kelab besar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya