fbpx

Chile sudah, kini giliran Belgium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemenangan 2-1 ke atas Chile dalam aksi pembukaan hoki Piala Dunia Remaja (JWC) 2021 kelmarin menyuntik semangat Malaysia untuk mengatasi Belgium pada saingan seterusnya, malam ini.

Pengurus skuad kebangsaan, I. Vikneswaran berkata, anak-anak buahnya kini sudah beralih fokus kepada aksi menentang Belgium dalam usaha memburu slot ke suku akhir.

Beliau kagum melihat skuad muda negara bekerja keras menundukkan Chile, yang melakar kejutan menjuarai Kejohanan Hoki Remaja Pan-Amerika 2021 dengan menewaskan juara 11 kali berturut-turut, Argentina.

AKSI pemain Malaysia ketika menentang Chile dalam perlawanan pertama di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India.

“Aksi pertama amat penting dalam mana-mana kejohanan untuk mencari kestabilan pasukan selain mengurangkan tekanan dan meningkatkan keyakinan pasukan.

“Saya gembira kami berjaya membuka langkah kanan dalam perlawanan pertama. Bagaimanapun, fokus pasukan sekarang sudah beralih kepada aksi menentang Belgium.

“Saya percaya Wallace Tan (ketua jurulatih Malaysia) mempunyai perancangan untuk bertemu Belgium nanti. Setiap kelemahan dalam aksi ini akan diperbaiki menentang Belgium,” katanya.

Dalam saingan di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India itu menyaksikan Kamarulzaman Kamaruddin dan Syarman Mat Tee menghadiahkan jaringan buat skuad bimbingan Wallace Tan, manakala Sebastian Wolansky memberikan gol saguhati buat Chile.

Malaysia pernah menewaskan Belgium 4-2 pada JWC 2005, sebelum tewas 2-3 di edisi 2009 diikuti 0-3 (2016).

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI