B10 mencari 'Usain Bolt' Malaysia - Utusan Malaysia

B10 mencari ‘Usain Bolt’ Malaysia

PROJEK B10 yang dilancarkan Kementeri Pendidikan Tinggi menjadi platform menarik untuk melahirkan jaguh pecut yang mampu berlari di bawah masa 10 saat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lima tahun dari sekarang, Malaysia mungkin bakal memiliki jaguh pecut yang mampu berlari di bawah kepantasan 10 saat sekiranya Projek Larian 100 Meter Bawah 10 Saat (B10) mencapai matlamat.

Menyedari Malaysia semakin ketinggalan, termasuk di belakang negara jiran, Indonesia yang sedia ‘memecah’ masa bawah 10s pada bila-bila masa, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melancarkan projek yang mendapat sokongan penuh jurulatih terbaik negara, selain bekas-bekas jaguh pecut.

Projek B10 yang dilancarkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad semalam mula mencari pelatih pertama­nya dalam kalangan mereka yang berusia 18 hingga 22 tahun pada pemilihan, ­Februari 2022.

Mereka yang terpilih akan diberi program latihan khas, selain pendedahan luar negara.

NORAINI AHMAD

Projek B10 bakal menggunakan khidmat bekas pelari pecut dan jurulatih berpengalaman seperti Watson Nyambek, Nazmizan Muhammad, Mohd. Poad Md Kassim, M. Balamurugan, Azmi Ibrahim, Hamberi Mahat, Mohd. Manshahar Abdul Jalil dan Tan Kok Lim.

Projek itu akan mengambil masa lima tahun sehingga 2025 dan melibatkan beberapa pemegang taruh antaranya Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai penyelaras program.

“KPT berhasrat melahirkan atlet pecut 100m pertama di negara yang mampu berlari di bawah 10 saat dalam tempoh lima tahun mendatang.

“B10 satu projek khusus dan sangat istimewa kerana ia projek pertama seumpamanya di Malaysia dan fokus pada satu disiplin, acara sukan saja,” katanya.

KHAIRUL Hafiz Jantan memegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.18 saat.

Selain mahu melahirkan atlet pertama Malaysia yang mampu mencatat masa bawah 10s, B10 juga memberi peluang kepada bakat muda menyambung pe­ngajian ke peringkat tertinggi.

“Projek ini terbuka kepada rakyat Malaysia asalkan berusia 18 hingga 22 tahun.

“Sama ada mereka dalam skuad kebangsaan, penuntut IPT (Institut Pengajian Tinggi) atau orang biasa. Bagi yang tidak mengikuti pengajian, jika terpilih, kita akan tawarkan peluang melanjutkan pelajaran.

“Kita tidak menyasarkan jumlah peserta kerana matlamat kami mencari kualiti bukan kuantiti.

“Kalau ramai melepasi syarat, kita mungkin buka dua atau tiga pusat latihan, jika tidak satu sudah memadai,” kata Ke­tua Seksyen Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Dr. Pekan Ramli.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN