Aifa kejutkan pemain No. 8 dunia, juarai Terbuka Malaysia - Utusan Malaysia

Aifa kejutkan pemain No. 8 dunia, juarai Terbuka Malaysia

AIFA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menunjukkan aksi luar biasa sejak aksi pertama Terbuka Malaysia 2021, pemain skuasy wanita negara, Aifa Azman mencipta sejarah tersendiri apabila merangkul kejuaraan di kejohanan tersebut.

Dalam final hari ini, pemain kelahiran Kedah itu menundukkan plihan pertama dari Mesir, Salma Hany 12-10, 11-8, 11-4 dalam tempoh 30 minit di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Pemain berusia 19 tahun layak beraksi dalam kejohanan bernilai RM209,000 itu atas tiket wild card (jemputan).

“Saya sangat gembira kerana ini adalah gelaran terbesarpernah saya raih.

“Saya gembira dengan prestasi pada minggu ini, ia sungguh hebat dan saya fikir, Salma juga bermain dengan baik sekali,” ujar pemain berusia 19 tahun itu.

Aifa yang hanya menduduki ranking ke-69 dunia terus mencipta kejutan apabila menundukkan Salma yang berada di ranking kelapan dunia.

“Amat berbeza bermain dengan pemain di ranking lebih tinggi. Ia berbeza dengan bermain ketika saya di kejohanan remaja. Saya gembira dengan pengalaman ini,” katanya.

Selepas ini, Aifa dijadual menyertai kejohanan Berpasukan Asia 2021, minggu depan.

“Sudah tentu selepas menang gelaran ini, saya akan bersedia dengan pasukan untuk beraksi dengan lebih baik di Kejohanan Berpasukan Asia. Doakan yang terbaik buat kami,” tambahnya.

Dalam perlawanan final itu, Aifa bermula agak perlahan pada set pertama selepas melakukan beberapa kesilapan mudah sehingga ketinggalan 4-9, namun berjaya bangkit dan menyamakan kedudukan 9-9.

Salma yang tersentak dengan kebangkitan dilakukan Aifa cuba memperkemaskan permainan, bagaimanapun tindakan itu tampak tidak menjadi sebelum akur dengan kekalahan 10-12.

Bersambung set kedua, permainan dilihat lebih seimbang apabila Salma tampil lebih agresif tetapi Aifa nyata lebih bersedia apabila terus menampilkan aksi cemerlang dan mencatat kemenangan 11-8.

Pada set ketiga, pemain berusia 19 tahun itu menguasai sepenuhnya permainan dan jauh meninggalkan Salma 10-2 sebelum dia memastikan kejuaraan menjadi miliknya apabila menang 11-4.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.