fbpx

30 November 2021, 11:41 pm

Lebih 1.8 Juta sertai Hari Sukan Negara 2021

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua dari kanan) bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tengah) melihat basikal yang digunakan oleh pelumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang ketika beraksi pada temasya Sukan Olimpik 2020 Tokyo selepas merasmikan majlis pelancaran HSN 2021 di Dewan Podium, KBS, Putrajaya.- UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hari Sukan Negara (HSN) 2021 mensasarkan penglibatan lebih daripada 2.5 juta Keluarga Malaysia melakukan aktiviti sukan kecergasan dan rekreasi di seluruh negara.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sasaran itu diyakini boleh dicapai apabila sejumlan 1.8 juta penyertaan sudah direkodkan menerusi www.harisukannegara.my pada hari pertama pelancaran yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Menurut beliau, HSN 2021 turut mengenal pasti kumpulan sasaran seperti keluarga, kanak-kanak, wanita, belia, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas dengan kawasan sasaran pelaksanaan pula adalah di luar bandar, pusat kecergasan, institusi pendidikan, kawasan perumahan, tempat kerja, dan pusat kesihatan.

“Objektif HSN 2021 adalah menggalakkan keluarga Malaysia untuk melaksanakan aktiviti sukan seperti kecergasan dan rekreasi ke arah menjadikan Malaysia negara bersukan.

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah), Ahmad Faizal Azumu (kiri) dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker ketika melancarkan Hari Sukan Negara 2021 kelmarin. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

“Asas perancangan HSN 2021 adalah memberi kesedaran tentang kepentingan amalan gaya hidup cergas dan aktif walaupun di kala negara dilanda pandemik Covid-19 dengan menjadikan aktiviti sukan dan kecergasan sebagai sebagai rutin harian untuk meningkatkan tahap kesihatan rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Ahmad Faizal berkata, HSN 2021 bermotifkan peningkatan penglibatan dan penyertaan masyarakat dalam aktiviti sukan ke arah pembudayaan sukan yang menyeluruh walaupun dalam tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, ini termasuk meningkatkan dan menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum agar terus bersatu untuk terus kekal aktif dan sihat ke arah pemulihan negara yang masih berhadapan dengan penularan wabak pandemik.

Beliau berkata, ia sekali gus menggalakkan pembangunan ekonomi negara melalui pembangunan industri sukan yang menyokong rakyat terus bersukan melalui pembelian dan penjualan barangan sukan dan secara tidak langsung dapat memberikan sokongan kepada ekosistem sektor sukan dan rekreasi.

Hari Sukan Negara diilhamkan sebagai satu hari ikonik tahunan rakyat Malaysia yang akan dilaksanakan secara serentak di seluruh negara bagi meraikan dan mengiktiraf penglibatan mereka dalam aktiviti sukan, seterusnya menjadikan ia sebagai satu gaya hidup dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ia diperkenalkan julung kali pada tahun 2015 dengan jumlah penyertaan keseluruhan HSN 2015 adalah seramai 5,195,869 orang termasuk 1 juta penyertaan dari sekolah-sekolah di seluruh negara.

Penyertaan daripada rakyat Malaysia di luar negara turut memberangsangkan melalui kerjasama di antara Kementerian Belia dan Sukan bersama Kementerian Luar Negeri telah mencatatkan penyertaan seramai 7,242 rakyat Malaysia di 76 Pejabat Kedutaan Luar Negeri.

HSN 2015 juga mencipta Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai Penganjuran Aktiviti Sukan Terbanyak Secara Serentak dalam Satu Hari dengan penganjuran sebanyak 17,648 aktiviti sukan, manakala pelaksanaan HSN 2020 tidak dapat disambut disebabkan penularan pandemik.

POPULAR

KOSMO! TERKINI