
SELEPAS bersara awal pada usia 31 tahun, bekas pertahanan Liverpool, Daniel Agger meneruskan impiannya untuk menjadi pencacah tatu profesional sebelum beralih ke bidang ‘berkaitan najis’.
Bekas pemain antarabangsa Denmark itu memiliki premis tatu terbesar di Denmark, Tattoodo dan pada masa sama melabur dalam industri pembentungan.
Dia yang kini berusia 36 tahun melabur 450,000 pound (RM2.5 juta) untuk menubuhkan syarikat yang menguruskan sistem pembentungan Denmark dikenali sebagai KloAgger atau Tandas Agger.

Agger terlibat secara langsung dengan firma tersebut bersama adiknya, Marco dan rakan mereka, Rune Rasmussen, malah melihat perjalanan syarikat setiap hari.
Selepas meninggalkan Anfield pada 2014, Agger kembali ke Denmark untuk menyertai Brondby yang berdepan masalah kewangan.
Agger yang ketika itu sudah mempunyai kewangan kukuh ketika menyarung jersi Liverpool memutuskan untuk tidak menerima gaji daripada Brondby.
Dia bersimpati dengan kelab Superliga itu yang bergelut untuk membayar gaji serta faedah kepada pemain dan bekas pemain.

Agger memutuskan untuk tidak membuat sebarang tuntutan, sebaliknya membina kerjaya baharu bagi menjamin masa depannya.
Idea menubuhkan KloAgger sebenarnya mula dibincangkan pada 2013, namun selepas bersara daripada bola sepak dia lebih serius menceburi bidang yang sama sekali berbeza.
Pembentungan atau industri berkaitan ‘najis’ mungkin bukan bidang glamor, namun hanya beberapa tahun selepas penubuhan KloAgger, syarikat itu berjaya meraih keuntungan 1 juta pound (RM5.71 juta).

Biarpun sudah memiliki perniagaan sendiri dengan kewangan yang kukuh, namun minat Agger terhadap bola sepak tidak pernah pudar.
Pada Jun lalu, Agger diumumkan sebagai pengurus kelab Denmark, HB Koge.
“Idea untuk kembali dalam bola sepak membolehkan saya berkembang sejak beberapa tahun ini,” katanya.
Biarpun cetek pengalaman, namun reputasi sebagai bekas bintang Reds membolehkan dia dipilih sebagai pengurus.










