fbpx

Cabaran Zii Jia berakhir awal

LEE ZII JIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beraksi dalam empat kejohanan berturut-turut nyata memberi kesan buat jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia apabila tersingkir seawal pusingan pertama pada Terbuka Perancis hari ini.

Turun sebagai pilihan ketujuh, juara All England itu dikejutkan 22-24, 12-21 kepada pemain No. 40 dunia, Loh Kean Yew dari Singapura.

Zii Jia yang sebelum ini mengetuai cabaran Malaysia dalam Piala Sudirman, Piala Thomas dan Terbuka Denmark terpaksa akur dalam masa 39 minit.

GOH Soon Huat (kiri) dan Shevon Lai.

Cabaran badminton negara di Stade Pierre de Coubertin bagaimanapun masih diteruskan lapan lagi wakilnya, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Lee Meng Yean-Yap Cheng Wen, Pearly Tan-M. Thinaah, Goh Soon Huat-Shevon Lai, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik, Aaron-Wooi Yik meneruskan kemaraan dalam beregu lelaki selepas mengenepikan pasangan senegara, Goh V Shem-Low Juan Shen 25-23, 21-12.

AARON CHIA-SOH WOOI YIK

Satu lagi beregu negara, Yew Sin-Ee Yi terlebih dulu mara selepas mengalahkan rakan senegara, Nur Izzuddin Rusmani-Goh Sze Fei semalam.

Turut mara beregu wanita, Meng Yean-Cheng Wen yang menumpaskan pasangan Ukraine, Maria Stoliarenko-Yelyzaveta Zharka 21-12, 21-17

Gandingan Pearly-Thinaah pula menempah pertemuan dengan pasangan Indonesia, Siti Fadia Silva Ramadhanti-Ribka Sugiarto selepas menumpaskan Jessica Hopton-Jessica Pugh dari England 23-21, 21-10.

M. THINAAH (kiri) dan Pearly Tan.

Dalam beregu campuran, Soon Huat-Shevon mudah menumpaskan Oliver Leydon Davis-Anona Pak dari New Zealand untuk bertemu Rodion Alimov-Alina Davletova dari Rusia.

Pang Ron-Yee See pula bakal berdepan ujian getir pilihan ketiga, Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun selepas menyingkirkan beregu Taiwan, Yang Po-Hsuan-Hu Ling Fang 21-14, 21-14.

GOH Liu Ying (depan) dan Chan Peng Soon.

Pilihan kelima, Peng Soon-Liu Ying akan menentang satu lagi pasangan Jepun, Yuki Kaneko-Misaki Matsumoto selepas menang 21-19, 21-19 ke atas Dhruv Kapila-Reddy Sikki dari India.

Dalam satu lagi saingan, Kian Meng-Pei Jing mara ke pusingan kedua selepas menumpaskan Jeppe Bay-Sara Lundgaard dari Denmark, 21-18, 21-15.

POPULAR

KOSMO! TERKINI