Tottenham berdepan ‘malang’ dahsyat - Utusan Malaysia

Tottenham berdepan ‘malang’ dahsyat

PEMAIN Tottenham menjalani latihan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Tottenham ber­depan kri­sis kecederaan men­jelang per­­temuan dengan Chelsea pada aksi Liga Per­dana hari ini selepas kehila­ngan penyerang, Steven Bergwijn dan Lucas Moura dalam Liga Konferensi Europa kelmarin.

Kecede­raan yang dialami Bergwijn dan Moura ketika seri 2-2 dengan Rennes disifatkan pengurus Spurs, Nuno Espirito Santo sebagai ‘malang yang dahsyat’.

Bergwijn yang terlepas perlawanan terakhir liga ke­tika Tottenham tewas 0-3 kepada Crystal Pala­ce pada 11 September lalu cedera pergelangan kaki.
Lucas pula dikeluarkan pada babak kedua akibat masalah lutut.

Seorang lagi peledak berbisa, Heung-min Son tidak pasti dapat diturunkan akibat kete­gangan betis ketika menggalas cabaran Korea Selatan dalam kelayakan Piala Dunia 2022.

SON HEUNG-MIN

Bek kanan England, Eric Dier juga tidak cergas setelah me­ngalami kecederaan ketika bertemu Palace.

Tonggak pertahanan, Japhet Tanganga pula tidak dapat beraksi akibat penggantungan dan Ryan Sessegnon terlepas perlawanan kerana masalah hamstring.

Tiga pemain dari Amerika Selatan, Davinson Sanchez, Cristian Romero serta Giovani Lo Celso hanya pulang ke England semalam.

Ketiga-tiga mereka berlatih di Croatia selama 10 hari bagi mengelak dikuarantin lama di United Kingdom (UK) dan tidak dapat dipastikan apakah bakal terlibat dalam perlawanan menentang Blues.

Tottenham bertemu Rennes de­ngan melakukan beberapa pertukaran dari benteng hingga serangan.

Emerson Royal, Dane Scarlett dan Bryan Gil semua ditu­runkan, manakala Harry Kane dikeluarkan awal bagi memastikan dia cergas untuk bertemu Chelsea.

“Sejujurnya, setuasi kami sa­ngat mengerikan. Saya tidak ma­hu menyembunyikan apa-apa, namun ketika ini semua tidak begitu baik. Inilah bola sepak,” kata Nuno.

Sudahlah dibelenggu kecede­ra­an, Spurs juga belum dapat melihat prestasi terbaik daripada Kane berban­ding Chelsea, yang lega Romelu Lukaku semakin serasi.

PENYERANG berbisa, Romelu Lukaku meraikan gol ketika menentang Aston Villa dalam aksi Liga Perdana Inggeris.- AFP

Ketika Lukaku membuat pilihan tepat untuk kembali ke Stamford Bridge, Kane sebaliknya menyesali kegagalan berpindah ke Manchester City.

Setakat ini Lukaku sudah meledak tiga gol dalam saingan Liga Perdana dan satu pada aksi Liga Juara-Juara.

Kane belum menemui sentuhan dalam liga dan gagal menjaringkan sebarang gol, dia bagaimanapun men­cetak dua jaringan pada aksi Liga Konferansi Europa me­nentang ke­lab kerdil Por­tugal, Pacos Ferreira. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.