Skuad ‘mentah’ ke Piala Thomas, Uber, Sudirman - Utusan Malaysia

Skuad ‘mentah’ ke Piala Thomas, Uber, Sudirman

LEE ZII JIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mengambil tindakan berani dengan menghantar skuad mentah ke Piala Thomas, Piala Uber dan Piala Sudirman dalam usaha membentuk pasukan mantap di Olimpik Paris 2024.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, mereka perlu mengambil risiko kerana mahu pemain muda menimba pengalaman selain memantapkan diri untuk menjadi pencabar sebenar di Paris.

“Sebelum ini (Wong) Choong Hann (Pengarah Kejurulatihan BAM) ada beritahu kami perlu amik risiko sekiranya ingin memiliki pasukan yang mantap.

“Kami serius untuk mendapatkan dua wakil dalam semua acara di Paris 2024 dan atas sebab itu kami perlu menjadikan kejohanan ini sebagai platform untuk pemain muda.

“Mengenai sasaran, kami menyasarkan suku akhir pa­ling minima untuk ketiga-tiga kejohanan,” katanya semalam.

Daripada 11 pemain yang disenaraikan ke Piala Thomas, hanya Lee Zii Jia dan beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik mempunyai pengalaman beraksi.

AARON Chia-Soh Wooi Yik yang meraih gangsa beregu lelaki menjadi sandaran utama dalam Piala Thomas dan Piala Sudirman.

Bagi skuad Piala Uber, Lee Meng Yean bakal membuat penampilan ketiga, manakala S. Kisona dan Goh Jin Wei beraksi untuk kali kedua.

Dalam Piala Sudirman, hanya Zii Jia dan Aaron-Wooi Yik berpengalaman, manakala yang lain akan membuat penampilan sulung.

Piala Sudirman berlangsung di Finland dari 26 September hingga 3 Oktober, manakala ­Piala Thomas dan Uber pada 9-17 Oktober ini di Denmark.

Mengulas cabaran Piala Thomas, Mohamad Norza percaya Malaysia masih berpeluang menjadi pencabar jika memiliki semangat juang yang tinggi se­perti di Sukan Olimpik Tokyo.

“Macam Aaron dan Wooi Yik, mereka masih muda tetapi boleh mengejutkan pasangan No.1 dan 2 dunia semasa di ­Tokyo. Saya rasa tiada yang mustahil dalam saingan ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.