MPM harap dapat hantar atlet ke AYPG 2021 - Utusan Malaysia

MPM harap dapat hantar atlet ke AYPG 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bersedia untuk menghantar 41 atlet menyertai Sukan Para Remaja Asia (AYPG) 2021 yang dijadual berlangsung dari 28 November hingga 7 Disember depan di Bahrain.

Penyertaan itu penting buat atlet pelapis meraih tiket menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa, malah temasya berkenaan diiktiraf Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) khas untuk golongan remaja.

Ia akan memberi peluang untuk atlet remaja diklasifikasikan dan didaftar sebagai atlet orang kurang upaya (OKU) yang sah untuk bertanding dalam acara yang bersesuaian bagi pertandingan sukan antarabangsa yang mendapat pengiktirafan.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, keputusan ini dibuat bagi menyahut saranan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, baru-baru ini bagi menggiatkan usaha untuk menanam budaya bersukan terhadap komuniti OKU, sekali gus dapat mencungkil bakat baharu.

BONNIE Bunyau Gustin memenangi pingat emas pertama Malaysia dalam Sukan Paralimpik 2020.

Bahkan Ahmad Faizal, juga menyuarakan kemungkinan untuk mewujudkan Sekolah Sukan Khas bagi OKU seperti yang dicadangkan MPM sebelum ini.

“Kegiatan sukan untuk golongan remaja perlu dipertingkatkan, bukan hanya untuk melahirkan jaguh-jaguh sukan tetapi juga untuk membudayakan cara kehidupan yang sihat. Kami harap semua pemegang taruh dapat bantu usaha MPM ini.

“Kita mahu meningkatkan kegiatan sukan bagi golongan OKU sejak dibangku sekolah. Penyertaan dalam AYPG adalah salah satu cara yang ekeftif, dimana jaguh-jaguh semasa adalah hasil dari program seperti ini.

“Bayangkan dengan pendedahan kepada lebih ramai atlet pelapis OKU, lebih banyak juara dunia dapat kita lahirkan pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

MPM perlu memberi pendedahan kepada atlet muda sebagai pelapis kepada bintang seperti Muhammad Ziyad Zolkefli.

Kekurangan persediaan untuk menyertai temasya itu tidak boleh dijadikan alasan selepas hampir dua tahun tiada pendedahan buat atlet para remaja, malah penyertaan ParaAsean dan ParaSukma tidak menawarkan ‘tiket’ seperti di AYPG.

Katanya, kejayaan meraih pencapaian terbaik di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dengan membawa pulang lima pingat, iaitu tiga emas dan dua perak sepatutnya mampu membuka mata semua pihak dan perlu diteruskan dengan memperkasakan lagi program bagi persiapan Paralimpik Paris 2024.

Jika buat atlet Olimpik disediakan bajet dan pendedahan lebih banyak, kenapa tidak buat atlet Para yang telah menyumbang pingat emas Paralimpik untuk dua edisi berturut-turut.

Sehingga kini, hanya beberapa atlet para menjadi tumpuan iaitu Abdul Latif Romly, Ziyad Zolkefli, Ridzuan Puzi, selain Bonnie Bunyau Gustin, Cheah Liek Hou dan Chew Wei Lun.

CHEAH Liek Hou yang memenangi emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tidak lagi muda.

Dengan usia yang makin meningkat, MPM perlu mencari barisan pelapis muda bagi memperbanyakkan lagi prospek pingat menjelang Paralimpik Paris 2024.

MPM memaklumkan pada satu mesyuarat bersama Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran Malaysia (BPK-KPM) 21 September lalu, mereka berdepan kekangan kewangan dan susulan lanjut mengenai isu berkenaan sudah dipanjangkan ke pihak kerajaan bagi menyalurkan peruntukan tambahan.

Malaysia mula menyertai AYPG sejak 2009 di Tokyo dan pada 2013, Malaysia diberi tanggungjawab menjadi tuan rumah sebelum Dubai menjadi lokasi bagi edisi ketiga pada 2017.

Malaysia memungut pingat terbanyak di AYPG Kuala Lumpur 2013 dengan meraih 19 emas, 22 perak dan 18 gangsa. Di Dubai 2017 pula, kontinjen negara yang dibarisi 12 atlet, membawa pulang enam emas, satu perak dan dua gangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya