
KETIKA kontinjen Malaysia pulang bersama pencapaian terhebat dalam sejarah Sukan Paralimpik dengan merangkul tiga pingat emas dan dua perak di Tokyo baru-baru ini, nama Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin meniti di bibir peminat sukan tanah air.
Beliau bukan penyumbang pingat atau atlet para, namun lelaki berusia 38 tahun itu menjadi inspirasi kontinjen Malaysia bukan sahaja sebagai Chef de Mission, malah Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).
Bagi Megat, apa yang mendorong beliau bersemangat untuk mendekati sukan para bukan semata-mata kerana potensinya yang besar, sebaliknya disebabkan anak perempuannya.
Tidak ramai yang tahu, anak kedua Megat Shahriman, Puteri Atiya Qarirah mengidap penyakit hydrocephalus.

“Saya melihat di mana anak saya memerlukan occupational health therapy (terapi pekerjaan) untuk sembuh dan memastikan semua anggota badannya berfungsi dengan baik.
“Keadaan anak saya adalah di mana ada cecair lebihan di otak yang mungkin akan menjejaskan ketumbuhan sel-sel otak dan mungkin ada komplikasi pembelajaran.
“Saya harus fikir jalan yang terbaik untuk dia berjaya dalam hidup dan mempunyai peluang kedua. Saya terfikir mungkin ke arah sukan, menguatkan fizikal dan membuat penyelidikan tentang sukan untuk golongan anak-anak istimewa,” katanya.

Mempunyai anak istimewa membuatkan Megat sering mendekati golongan kurang upaya (OKU), dan darah sukan yang mengalir di tubuhnya sejak di bangku sekolah pula membuatkan dia terdorong untuk aktif dalam pelbagai pertubuhan sukan.
Kata Megat, sewaktu di sekolah beliau aktif dalam hoki, bola tampar, ragbi sentuh, olahraga, bola sepak, renang dan banyak lagi. Ada antara sukan ini membawanya ke peringkat negeri serta kebangsaan.

Rasa cinta untuk menyumbang sesuatu kepada sukan tanah air mendorong beliau mengambil keputusan ‘terjun’ dalam dunia sukan pada 2018.
Berkongsi perjalanan pertama sebagai ‘keluarga’ sukan, beliau mengakui ia tidak semudah yang disangka terutama dalam menguruskan persatuan.

“Dalam persatuan ini tidak mudah kerana kita akan melalui banyak duka dan luka. Ada yang harmoni dan ada juga tidak harmoni.
“Apabila kita ikhlas membantu ada yang ambil kesempatan dan ada juga yang bagus tak mbil kesempatan tetapi hakikatnya lebih (ramai) mengambil kesempatan daripada membantu persatuan.
“Apa pun bukan semua dalam sukan ini tidak baik, ramai yang baik dan ikhlas berbakti kepada negara,” ujarnya.

Bermula 2018 sehingga sekarang, Megat telah memegang beberapa jawatan iaitu Presiden Persatuan Kanu Kebangsaan, Persatuan Hoki Kuala Lumpur, Goalball Malaysia
Orang Buta, Para Kuala Lumpur dan kini Presiden MPM.
“Ini semua tanggungjawab dan amanah berat yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin bukan boleh dibuat main-main atau mengambil kesempatan di atas jawatan yang dipegang,” tegasnya.
Berkongsi detik paling manis dalam sukan, beliau mengakui penerimaan atlet para terhadap dirinya antara anugerah terindah dalam hidup.
MEGAT D SHAHRIMAN ZAHARUDIN
Umur: 38 tahun
Asal: Seremban, Negeri Sembilan
Kerjaya: Ahli perniagaan
Jawatan
Presiden Persatuan Kanu Malaysia (2018-2019)
Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (2019-hingga kini)
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (2019-hingga kini)
Presiden Persatuan Goalball Orang Buta Malaysia (2019-hingga kini)
Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (2019-hingga kini)
Ahli Lembaga Pengarah Mara Corporation (2020-hingga kini)
Pertubuhan bukan kerajaan:
Pengasas Yayasan Hydrocephalus Negara










