LONDON: Novak Djokovic hanya selangkah lagi untuk menjulang kejuaraan Wimbledon buat kali keenam dan menyamai rekod 20 gelaran Grand Slam selepas menyingkirkan pemain yang 12 tahun lebih muda daripadanya, Denis Shapovalov pada separuh akhir hari ini.
Pemain No. 1 dunia dari Serbia itu diberi tentangan sengit oleh bintang muda Kanada, Shapovalov sebelum menang 7-6 (7/3), 7-5, 7-5 untuk mara ke final Grand Slam buat kali ke-30.
Djokovic kini akan membuat perhitungan dengan pemain No. 9 dunia, Matteo Berrettini yang muncul perseorangan lelaki pertama Itali mara ke perlawanan akhir Wimbledon selepas menumpaskan Hubert Hurkacz dari Poland 6-3, 6-0, 6-7 (3/7), 6-4.
“Saya tidak fikir mata yang dicatat menggambarkan perjalanan sebenar perlawanan. Dia (Shapovalov) melakukan servis yang bagus dan mungkin pemain lebih baik hari ini.
“Tepukan gemuruh buatnya kerana memberikan segala-galanya untuk hari ini dan sepanjang dua minggu ini. Saya pasti, kita akan melihatnya beraksi di pentas utama dengan lebih kerap pada masa akan datang kerana dia pemain yang hebat,” kata Djokovic.
Kemenangan ke atas Shapovalov esok bakal membawa Djokovic sebaris legenda Switzerland, Roger Federer dan bintang Sepanyol, Rafael Nadal memenangi 20 gelaran Grand Slam.

Dia juga di landasan memenuhi misi menjadi pemain ketiga dalam sejarah tenis memenangi kesemua empat gelaran Grand Slam dalam satu musim jika menjuarai Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat (AS).
“Saya cuba memaksimumkan kemampuan sendiri dalam setiap perlawanan dan kemudian lihat apa akan berlaku.
“Pada peringkat karier saya sekarang, Grand Slam adalah segala-galanya dan saya saya teruja dapat memahat sejarah dalam sukan yang saya cintai,” katanya.
Begitupun cabaran Djokovic, 34, tidak mudah kerana lawan yang bakal ditentang, Berrettini kini amat bermotivasi untuk bergelar pemain Itali pertama menjuarai Grand Slam sejak Adriano Panatta muncul juara Terbuka Perancis 1976.
“Hari ini, saya mempamerkan aksi terbaik sepanjang kejohanan ini, harap ia akan lebih baik pada Ahad nanti.
“Saya rasa seronok dengan apa yang saya lakukan dan harus percaya kepada diri sendiri,” kata pemain berusia 25 tahun itu. – AGENSI