Maaf, saya sudah bantu setakat yang mampu - MB Perak - Utusan Malaysia

Maaf, saya sudah bantu setakat yang mampu – MB Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Isu gaji pemain Perak FC yang tertunggak tidak menunjukkan tanda penyelesaian dalam masa terdekat apabila Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad menegaskan beliau sudah pun membantu masalah itu setakat yang mampu.

Menurutnya, secara keseluruhan kerajaan negeri telah memberikan RM4 juta iaitu RM2.5 juta untuk tunggakan gaji selama dua bulan sebelum ini dan baru-baru ini lagi bantuan sebanyak RM1.5 juta.

Beliau berkata, kerajaan negeri bukan tak bersimpati terhadap masalah yang dihadapi pemain tetapi telahpun membantu setakat kemampuan.

“Saya faham, saya tengok dalam Facebook ramai menyalahkan saya seolah-oleh saya tak peduli masalah gaji pemain namun terus terang saya katakan kerajaan negeri sudah berbelanja RM4 juta menggunakan duit GLC.

“Saya minta maaf kepada peminat Perak, saya sudah membantu RM4 juta. Mereka (Perak FC) sudah datang berbincang dengan memberitahu masalah mereka dan saya kata saya hanya boleh membantu seperti mana yang kita telah beri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Program Menteri Besar Bersama Rakyat di Parlimen Tanjung Malim di sini hari ini.

Menurutnya, satu perkara yang perlu difahami ialah Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) dan anak anak syarikatnya, Perak FC bukan di bawah kerajaan negeri.

Katanya, tugas Perak FC ialah untuk berniaga sebagai pelabur am dan mencari dana untuk menjaga pasukan bola sepak.

Jelasnya, memandangkan Perak FC sebagai entiti baharu dan belum ada apa-apa perniagaan maka kerajaan negeri sebelum ini telah membantu dalam isu gaji pemain tertunggak.

“Tidak betul kalau ada yang kata kerajan negeri tak langsung bantu. Saya telah mengambil inisiatif memujuk beberapa GLC untuk membayar gaji, sebenarnya itu bukan tanggungjawab saya, tapi saya tak mahu melihat kerosakan yang berlaku,” katanya.

Kata Saarani, peruntukkan beliau sebagai menteri besar ialah RM20 juta, bermakna jika semua peruntukkan itu diberikan kepada sukan bola sepak, rakyat tidak akan mendapat apa-apa.

Katanya, kerajaan negeri tak mampu untuk membiayai keseluruhan perbelajaan untuk Pafa dan Perak FC yang sangat mahal kerana peruntukkan tersebut digunakan untuk perkara lain seperti pembangunan usahawan dan orang miskin.

“Rakyat kalau dapat RM500 pun sudah gembira, tapi kalau saya bantu mereka (pemain bola) sampai RM40,000, RM50,000 sebulan malahan jurulatih RM180,000 sebulan, ini tidak adil,” katanya.

Menurut Saarani, kerajaan negeri bukan tidak bersimpati terhadap nasib pemain.

“Mereka (Perak FC) sudah kerap kali mengadakan perbincangan kerana saya mempunyai exco sukan dan saya kata saya sudah bantu setakat yang mampu.

“Peruntukkan yang ada kita kena beri kepada sasaran yang betul untuk membantu lebih ramai rakyat yang susah,” katanya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan Perak FC berdepan kegagalan membayar gaji pemainnya selama dua bulan untuk bayaran bulan Februari dan Mac malah difahamkan kemelut kewangan itu turut melanda pasukan Perak FC II.

Masalah itu dikatakan menyebabkan ada pemain yang mahu meninggalkan pasukan.

Masalah tunggakan gaji bukanlah isu baharu kerana pernah menghantui Perak daripada permulaan musim, namun semua pemain dilihat masih bertahan di Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya