JDT beri 'hadiah' buat penyokong - Utusan Malaysia

JDT beri ‘hadiah’ buat penyokong

PERTAHANAN JDT, Adam Nor Azlin (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika menentang Melaka United dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI:  Beraksi di depan kehadiran penyokong buat kali pertama nyata menyuntik semangat Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menumpaskan Melaka United 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Dua jaringan gol skuad Harimau dalam 10 minit pertama perlawanan menerusi Bergson Da Silva dan Adam Nor Azlin memudahkan laluan JDT mengutip mata penuh di depan 2,000 penyokong tuan rumah.

Kemenangan ini bukan saja mengukuhkan kedudukan JDT sebagai pendahulu liga, malah menamatkan dua aksi mengecewakan yang menyaksikan Harimau Selatan seri dengan Selangor dan Perak dalam perlawanan terakhir mereka.

Bagi Melaka, ini kekalahan pertama mereka selepas enam perlawanan, sekali gus meletakkan skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan kesembilan liga.

PENYERANG JDT, Bergson Gustavo meraikan jaringannya ketika menentang Melaka United dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Skuad Harimau Selatan yang turun tanpa beberapa pemain utama Naxto Insa, Matthew Davies, Farizal Marlias dan Aidil Zafuan Abd. Radzak tidak menjejaskan rentas skuad bimbingan Benjamin Mora.

Kehadiran penonton selaku pemain ke-12 memberi suntikan kemenangan bagi memburu tiga mata untuk mengukuhkan kedudukan di posisi teratas liga.

Pasukan tuan rumah tidak menunggu lama untuk membuka jaringan pembukaan menerusi Adam yang memanfaatkan sepakan sudut Leandro Velazquez dengan menanduk bola menewaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat pada minit keempat.

JDT meledak gol kedua apabila menghukum kesilapan Khairul Fahmi yang membuat hantaran pendek kepada Jang Suk-won sebelum hantarannya dipintas Velazquez lalu melorongkan bola kepada Bergson bagi mencipta jaringan pada minit kelapan.

Bersambung babak kedua, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan mula memberi tekanan terhadap benteng tuan rumah dan hampir mencipta gol pada minit ke-50 namun bola rembatan deras Sony Norde di luar kotak penalti sekadar singgah di tiang gol kiri ketika Haziq sudah tertewas.

PERTAHANAN JDT, Adam Nor Azlin menanduk bola menewaskan penjaga gol Melaka United, Khairul Fahmi Che Man untuk gol pertama pasukannya di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Pada minit ke.73, Fakhrullah Rosli mempunyai peluang untuk mencipta jaringan namun tidak berjaya meletakkan bola ke dalam gawang lawan setelah Haziq gagal mengeluarkan bola dengan baik dari zon bahaya.

Mohamadou Sumareh yang dimasukkan pada babak kedua perlawanan berjaya membawa impak mengatur gerakan hingga membantu jaringan buat Bergson bagi meledak gol ketiga pada minit ke-82.

Kedua-dua pasukan saling berganti-ganti melancarkan serangan ke arah kubu lawan namun keputusan kekal ke wisel penamat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya