Aidil enggan ratapi ketiadaan 6 tonggak - Utusan Malaysia

Aidil enggan ratapi ketiadaan 6 tonggak

PEMAIN Kedah menjalani latihan semalam dalam persiapan menghadapi Perak pada aksi Liga Super esok. - IHSAN KEDAH DARUL AMAN FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ketiadaan enam pemain utama tidak mendatangkan resah kepada ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak apabila mereka bertandang ke Ipoh bagi menentang Perak FC, malam esok.

Menurut Aidil, beliau sama sekali tidak mahu menoleh ke belakang serta terlalu ‘meratap’ mengenai apa yang berlaku.

Sebaliknya, kata pengendali berasa dari Singapura tersebut, beliau mahu mencabar kalangan pemain muda yang bakal diturunkan esok untuk menampilkan aksi terbaik, sekali gus mendatangkan kesukaran kepada pemain-pemain tonggak yang tidak dapat diturunkan, untuk kembali mendapatkan tempat mereka.

“Tiada gunanya kita terlalu memikirkan mengenai apa yang telah berlaku. Apa yang lebih penting, kita harus fokus dengan apa yang berada di depan dan saya sentiasa percaya betapa semua pemain dalam pasukan ini memiliki kemampuan untuk melakukan sesuatu.

“Ketiadaan ramai pemain utama ini adalah peluang untuk kalangan pemain muda menyerlah. Saya cabar mereka untuk ambil peluang ini sebaiknya, tunjukkan apa yang mereka ada dan berusahalah ‘menyusahkan’ pemain-pemain tonggak yang tidak dapat diturunkan itu untuk merampas kembali tempat mereka dalam pasukan ini,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini empat pemain Kedah telah pun berdepan kecederaan iaitu Renan Alves, Muhammad Syazwan Tajudin, Mohd. Syazwan Zainon dan Mohd. Rizal Ghazali.

Layangan kad merah kepada Rodney Celvin dan Fadzrul Danel pada aksi menentang Terengganu FC (TFC) pada 9 April lalu kemudiannya menambah senarai pemain yang tidak dapat diturunkan Aidil dalam pertemuan menentang Perak di Ipoh malam esok.


Mengulas mengenai suntikan vaksin diterima para pemain dan barisan kejurulatihan sehari sebelum Ramadan, Aidil berkata kalangan pemainnya tampak langsung tidak berdepan dengan sebarang alahan atau kesan memudaratkan.

“Malah saya merasakan suntikan vaksin ini memberi lebih keyakinan kepada kami untuk menghadapi saingan liga selepas ini.

“Semangat ditunjukkan pemain cukup baik. Memanglah ketika kalah kepada Terengganu minggu lalu, mereka sedikit kecewa tetapi sekarang segalanya tampak kembali membara untuk mereka menampilkan aksi terbaik dalam perlawanan menentang Perak FC nanti,” katanya.

Aidil dalam pada itu menjangkakan aksi pertama dalam bulan Ramadan mungkin akan menjadi agak mencabar buat kedua-dua pasukan.

“Namun ini adalah sesuatu yang perlu dilalui oleh semua pasukan. Saya yakin apabila mereka turun saja ke padang, para pemain ini akan memberi aksi 100 peratus untuk mencatat keputusan terbaik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya