Terbuka Australia 'Happy Slam' - Utusan Malaysia

Terbuka Australia ‘Happy Slam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE: Penampilan Ro­ger Federer dan Serena Williams pada kejohanan tenis Terbuka Australia tahun depan melegakan penganjur yang menyifatkan kejohanan kali ini sebagai ‘Happy Slam’.
Pada ketika dunia dihimpit pandemik Covid-19, penganjur bimbang kejohanan Grand Slam pertama 2021 itu akan kehila­ngan beberapa nama besar.

Bagaimanapun semua pemain utama dunia hampir pasti beraksi dari 8 hingga 21 ­Februari, termasuk pemain lelaki serta wanita No. 1 dunia, Novak Djo­kovic dan Ashleigh Barty.
Federer, 39, juara Terbuka Australia enam kali sebelum ini tidak dapat mengesahkan penyertaan kerana belum cergas daripada pembedahan lutut.

Bagaimanapun bintang Switzerland itu sudah memulakan latihan di Dubai dan mengesahkan akan turun memburu gela­ran ketujuh di Melbourne Park.

Bekas pemain No. 1 dunia Amerika Syarikat (AS) yang juga juara tujuh kali, Williams masih teruja untuk membuat penampilan semula di Margaret Court dan memburu gelaran Grand Slam ke-24.
Williams yang bakal me­nginjak 40 tahun pada 2021 menjuarai Terbuka Australia 2017 ketika sedang mengan­dung.

“Terlalu banyak kisah hebat dalam Terbuka Australia 2021. Serena akan memburu gela­ran kelapan, Novak yang sukar ditum­paskan di Melbourne ­beraksi lagi untuk kejuaraan ­kesembilan.

“Pemain No. 1 dunia dari Australia sendiri, Ash Barty kembali mencabar gelaran Grand Slam dan Roger Federer sudah pulih daripada masalah belakang,” kata Pengarah Kejohanan, Craig Tiley.

Terbuka Australia 2021 yang akan berlangsung di depan 50 peratus penonton biasa akan berlangsung selama tiga minggu.

Semua pemain diwajibkan menjalani kuarantin 14 hari sebaik sahaja tiba di Melbourne dan menjalani ujian Covid-19.

Bagaimanapun sepanjang tempoh kuarantin, mereka dibenarkan menjalani latihan berdasarkan Quarantine Base iaitu dalam kelompok mereka sendiri.

“Terbuka Australia kali ini agak berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya kerana semua yang terlibat perlu menjalani prosedur operasi standard (SOP) ketat kerana keselamatan adalah keutamaan kami.

“Apa pun, pemain akan kembali beraksi di depan penonton selepas saingan 2020 berlangsung dalam stadium kosong. Ia adalah ‘Happy Slam’ buat semua,” kata Tiley. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.