Shahrel Fikri pecah dominasi JDT - Utusan Malaysia

Shahrel Fikri pecah dominasi JDT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Shahrel Fikri Fauzi memecah dominasi Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menyapu empat daripada lima trofi utama Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2020 (ABK 20) Virtual sebentar tadi.

Penyerang Perak yang bakal berhijrah ke Selangor musim depan itu dinobat sebagai Penyerang Terbaik mengenepikan tiga pemain JDT, Ramadhan Saifullah, Diogo Luis Santo dan Fernando Rodríguez.

Enam lagi pemain yang tersenarai dalam 10 calon akhir adalah gandingan Terengganu FC, Dominique Da Sylva dan Engku Nur Shakir Engku Yacob, selain Casagrande (Pulau Pinang), Ifedayo Olusegun (Selangor), Tchetche Kipre (Kedah) serta Francis Kone (Kuala Lumpur).

Seperti dijangka, kejayaan merangkul kejuaraan Liga Super tujuh kali berturut-turut membolehkan JDT membolot sebahagian besar anugerah yang ditawarkan.

Bintang sensasi Harimau Selatan, Safawi Rasid membawa pulang anugerah buat kali ketiga berturut-turut selepas dinobat sebagai Pemain Tengah Terbaik.

Aidil Zafuan Abd Radzak mengenepikan sembilan calon lain untuk muncul Pertahanan Terbaik, manakala Farizal Marlias memenangi anugerah Penjaga Gol Terbaik dan pengendali JDT, Benjamin Mora diangkat sebagai Jurulatih Terbaik.

Pasukan Harimau Selatan melengkapkan malam gemilang dalam majlis yang buat kali pertama diadakan secara maya ekoran pandemik Covid-19 apabila muncul Pasukan Terbaik.

Shahrel atau lebih mesra disapa Eky membawa pulang dua trofi apabila turut menerima anugerah Penjaring Tempatan Terbanyak Liga Super dengan meledak 10 gol.

Anugerah Kasut Emas Liga Super 2020 pula milik bintang Red Giants, Ifedayo yang meledak 12 gol, manakala penggempur Pulau Pinang, Casagrande yang menghasilkan sembilan gol meraih anugerah Penjaring Terbanyak Liga Perdana.

Turut mencuri tumpuan penyerang muda Selangor II, Danial Asri yang meraih gelaran Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Perdana 2020 dengan tujuh gol.

Memandangkan Liga Malaysia (Liga M) 2020 hanya berlangsung 12 perlawanan, termasuk satu aksi Piala Malaysia, Anugerah Khas Pemain Paling Bernilai (MVP) kali ini diberikan kepada Penyokong Liga M.

Pemenang ABK 20 Virtual dimuktamadkan daripada 70 peratus kiraan mata juri profesional dan 30 peratus kiraan mata undian peminat.

“Saya mewakili Presiden MFL (Liga Bola Sepak Malaysia), Datuk Haji Hamidin Mohd. Amin, Ahli Lembaga Pengarah, rakan kongsi dan warga kerja MFL ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jawatankusa ABK, peminat, jurulatih, pemain dan media yang telah mengundi.

“Dalam masa yang sama saya berharap semua pihak sentiasa terus mematuhi Operasi Standard Prosedur (SOP) dalam misi bersama memutuskan rantaian COVID-19 dan semoga kita berjumpa lagi pada musim 2021,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan.

Sementara itu Anugerah Pemain Muda Harapan, Pemain Import Terbaik, Pemain ASEAN Terbaik, Penyokong Terbaik, Fan XI, Pemain Paling Popular, Laman Web Terbaik, Media Sosial Terbaik, Anugerah Mesra Media, Anugerah Komuniti, Anugerah Persahabatan, AFL Liga M3 – Pasukan Terbaik, AFL Liga M3 – Pemain Terbaik, Pengadil Berpotensi dan Anugerah Fair Play tidak dipertandingkan dalam ABK20 Virtual.

PEMENANG ABK20 VIRTUAL

ANUGERAH UTAMA

Pemain Tengah Terbaik
SAFAWI RASID (JDT)

Penyerang Terbaik
SHAHREL FIKRI FAUZI (Perak)

Pertahanan Terbaik 2020
AIDIL ZAFUAN ABD. RADZAK (JDT)

Penjaga Gol Terbaik 2020
FARIZAL MARLIAS (JDT)

Jurulatih Terbaik 2020
BENJAMIN MORA (JDT)

Pasukan Terbaik
JOHOR DARUL TA’ZIM (JDT)

PENJARING TERBANYAK

Liga Super
IFEDAYO OLUSEGUN (Selangor)

Liga Perdana
CASSAGRANDE (Pulau Pinang)

Liga Super (tempatan)
SHAHREL FIKRI FAUZI (Perak)

Liga Perdana (tempatan)
DANIAL ASRI (Selangor II)

Anugerah Khas (MVP)
PENYOKONG LIGA MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya