Pengawal peribadi halang hajat Fandi - Utusan Malaysia

Pengawal peribadi halang hajat Fandi

FANDI AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menginap di hotel yang sama, malah berkongsi satu padang, namun hajat Fandi Ahmad untuk berbual dengan Diego Maradona tidak kesampaian.

Itu memori yang terpahat dalam fikiran Fandi, penjaring gol tunggal pasukan Jemputan Selangor XI ketika menentang Boca Juniors yang diketuai Maradona di Stadium Merdeka pada 1982.

Maradona menjaringkan satu gol dan membantu Boca Juniors menang 2-1 dalam aksi persahabatan yang turut menyaksikan legenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari beraksi.

Kata Fandi, dia yang ketika itu baru berusia 17 tahun amat teruja untuk bertemu legenda Argentina, malah cuba menghampirinya di hotel penginapan mereka.

“Masa itu saya muda lagi, jadi teruja sangat dapat bermain dengan Maradona. Saya ada cuba mendekatinya di hotel atau di bilik hotel, tapi tak boleh ‘lepas’.

“Dia dikawal ketat oleh pengawal peribadi. Saya hanya boleh kata hi dan bye setiap kali bersemuka, tetapi di dalam padang dia sangat menakjubkan,” kata Fandi kepada Utusan Malaysia.

Legenda bola sepak Singapura itu mengakui, jaringannya ketika itu akan menjadi kenangan terindah dalam kariernya.

Kata Fandi, sebelum perlawanan itu dia sempat menyaksikan rakaman video aksi Maradona Piala Dunia Remaja di Tokyo dan bintang Argentina tersebut dilihat sebagai inspirasi buat pemain seusianya.

“Saya juga pernah menyaksikan Maradona beraksi dalam Piala Dunia 1986 di Mexico City ketika membantu Berita Harian Singapura mendapatkan bahan berita. Sepanjang tiga minggu di sana saya dapat melihat dia beraksi bersama Argentina.

“Dia memang yang terbaik ketika itu dan bagi saya dia seorang yang genius dan sangat lincah,” katanya yang kini berkhidmat bersama Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) selaku jurulatih mentor kepada skuad wanita negara itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN