Perak II buntu cari kemenangan sulung - Utusan Malaysia

Perak II buntu cari kemenangan sulung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Perak II terus buntu untuk mencari kemenangan sulung Liga Perdana musim ini apabila terikat 2-2 dengan Sarawak United dalam perlawanan di sini hari ini.

Dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, pasukan pelawat terlebih dahulu meledak gol menerusi sepakan percuma Millad Zanidpour Mansour seawal minit keenam.

Tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan 11 minit kemudian apabila sepakan percuma Bruno Luiz Pires terkena kaki pertahanan lawan dan bola melantun ke arah Tarik Isic yang mudah merembat ke gawang Sarawak United.

Serangan balas pantas pada minit ke-38 membolehkan lorongan Muhammad Adib Abdul Raop mudah disempurnakan Bruno Luiz Pires sekali gus memberi peluang Perak II mendahului perlawanan 2-1.

Kegembiraan tuan rumah bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Sarawak United berhasil menyamakan kedudukan menerusi tandukan Abdul Qayyum Mohamed Jabrullah Khan hasil sepakan percuma Veenod Subramaniam pada minit ke-50.

Muhammad Adib Abdul Raop berpeluang mencetak nama sebagai penjaring tuan rumah namun dua percubaannya pada minit ke-61 dan ke- 67 gagal menemui sasaran.

Perak II cuba memberi suntikan baru di barisan serangan dengan memasukkan
bekas penyerang skuad bawah 23 tahun kebangsaan, N. Thanabalan pada minit ke-75, namun tidak mampu menambah jaringan.

Sarawak United yang diketuai bekas penyerang kebangsaan, Mohd. Amri Yahyah juga buntu menambah gol sehingga tamat perlawanan memaksa kedua-dua pasukan kekal berada di tangga bawah Liga Perdana. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya