'Luqman tunggu kami' - Utusan Malaysia

‘Luqman tunggu kami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bukan seorang, tetapi lebih daripada itu bakal di terbangkan ke kelab milik taikun Tan Sri Vincent Tan jika penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin berjaya mempamerkan prestasi baik di KV Kortrijk.

Jelas Vincent, kehadiran Luqman ke kelab divisyen satu Belgium itu telah membuka ruang kepada pemain berbakat di Malaysia untuk turut mengikut jejak langkah penyerang berusia 18 tahun tersebut.

“Memang impian saya (mahu melihat lebih ramai pemain tempatan ke kelab luar). Kalau Luqman berjaya (di KV Kortirjk) pemain Malaysia yang lain juga berpeluang untuk pergi ke luar negara.

“Bukan sahaja ke Kortrijk, ke kelab-kelab lain di Eropah juga. Kalau Luqman berjaya, saya sanggup hantar mereka (pemain Malaysia lain) ke kelab saya.

“Dan sudah tentu (kalau Luqman berjaya), dia akan menambat hati kelab luar lain. Jadi ini peluang yang besar bagi Luqman dan juga Malaysia.

“Jadi kita berdoa agar Luqman berjaya,” kata pemilik Cardiff City dan Kortrijk itu dalam sidang akhbar selepas majlis tandatangan Luqman bersama kelab tersebut di ibu negara kelmarin.

Dalam pada itu, anak kelahiran Batu Pahat tersebut mahu melihat Luqman beraksi di atas padang berbanding memanaskan bangku simpanan atau sekadar makan gaji buta.

“Saya bagi tahu kelab supaya mereka perlu beri Luqman main daripada duduk di bangku simpanan.

“Dia perlu buktikan kepada jurulatih (Yves Vanderhaeghe) bahawa dia boleh bermain, biarpun beraksi sebagai pemain simpanan…10 minit, 15 minit.

“Saya harap jurulatih bersetuju dengan saya. Kadang kala pemilik kelab tidak boleh memberitahu pengurus apa yang tidak mahu dilakukannya.

“Sebagai pemilik kelab, saya membuat keputusan untuk memberi peluang kepada pemain Malaysia.

“Dan kelab perlu melatihnya dan berikan dia peluang. Sudah pasti mereka akan memberi peluang apabila pemiliknya juga orang Malaysia.

“Lebih baik turunkannya, atau tidak dia sekadar memakan gaji buta,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya