Dendam Bale RM330 juta - Utusan Malaysia

Dendam Bale RM330 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Gareth Bale sedia membalas dendam terhadap Real Madrid dan akan menyebabkan gergasi bola sepak Sepanyol itu kerugian 60 juta pound (RM330 juta).

Menurut akhbar Sepanyol, AS, Bale ‘tidak dapat dijual’ biarpun Los Blancos berusaha melepaskan bintang penyerang Wales itu bagi digantikan dengan pemain lain.

Biarpun sedar dia tidak diingini di Madrid dan sering disisihkan, namun Bale tetap berkeras untuk kekal sehingga kontraknya tamat pada 2022.

Keengganannya menurunkan gaji, selain meletakkan terma peribadi yang tinggi menyebabkan tiada kelab mahu membeli pemain itu dalam masa terdekat.

Itu bermakna, Real terpaksa membelanjakan sekitar 60 juta pound bagi membayar gaji pemain tersebut yang dikatakan mencecah 600,000 pound (RM3.3 juta) seminggu.

Pemain berusia 31 tahun itu akan memaksa Real membayar setiap sen daripada kontraknya biarpun jarang digunakan oleh jurulatih, Zinedine Zidane.

Hubungan Bale dan Zidane yang dingin bakal menyaksikan bekas bintang Tottenham itu terus disisihkan apabila musim baharu dibuka.

“Gareth tidak akan ke mana-mana. Dia mahu menghabiskan kontrak dua tahun di Madrid,” kata ejen Bale, Jonathan Barnett ketika ditanya tentang pemain itu.

Sementara itu, pemain tengah Real, Toni Kroos menggesa pasukan agar segera menyelesaikan isu Bale.

Kata Kroos, situasi itu tidak menggembirakan semua orang di kelab dan ia patut diselesaikan sebelum musim baharu bermula.

“Bale dibayar pada harga mahal bukan untuk memanaskan bangku simpanan.

“Saya fikir, mulanya dia mahu pergi musim lalu. Pada awalnya kelab bersetuju kemudian tidak, jadi itu menaikkan kemarahannya dan situasi sangat rumit,” kata bintang Jerman itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya