Angkat berat yang sebelum ini sering terpalit dengan isu doping antara tiga sukan yang digugurkan MSN daripada program sukan teras bersama sepak takraw serta taekwondo.

Begitupun, kejayaan Muhammad Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad dan Muhamad Aznil Bidin memenangi dua emas membuktikan sukan tersebut masih berpotensi besar dan mampu meraih keputusan positif sekali pun dikaitkan dengan pelbagai kontroversi.

“Kalau diikutkan memang wajib disenarai (dalam sukan teras) kerana kami memiliki pembangunan menyeluruh di peringkat akar umbi.

“Setiap atlet mengharapkan sukan ini kembali dimasukkan kerana mereka melakukan semuanya untuk negara dan saya melihat sukan ini akan mati jika dikeluarkan,” kata Pengurus pasukan angkat berat negara, Amirul Hamizan Ibrahim ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), di sini hari ini.

Angkat berat berjaya melepasi sasaran satu pingat emas yang ditetapkan dalam temasya di Gold Coast selepas Muhammad Azroy memenangi saingan 56 kilogram dengan angkatan 261kg, sebelum Muhamad Aznil menambah emas kedua bagi kategori 62kg dengan angkatan keseluruhan 288kg.

Pada Disember lalu, Kementerian Belia dan Sukan dan MSN mengambil keputusan menggugurkan angkat berat, sepak takraw dan taekwondo selepas ketiga-tiga sukan itu menunjukkan penurunan prestasi.

Selain itu, masalah disiplin seperti kegagalan beberapa atlet dalam ujian doping adalah punca utama angkat berat digugurkan.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail baru-baru ini berkata, dua emas Komanwel bukan jaminan buat angkat berat untuk kembali ke pangkuan sukan teras kerana mereka bukan diukur berdasarkan prestasi atlet senior di kejohanan antarabangsa.

Sebaliknya, kedudukan sukan itu bergantung kepada usaha badan sukan kebangsaan mereka serta negeri, selain penggiat angkat berat seperti jurulatih dan atlet dalam memastikan tiada lagi isu penyalahgunaan dadah di peringkat antarabangsa mahupun kebangsaan dan sukan Malaysia.