Baru-baru ini kerajaan mengumumkan Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19, iaitu pelan pemberian vaksin kepada penduduk negara ini akan dilaksanakan bermula Mac 2021. Secara mudahnya, vaksin mengandungi antigen, yang diperoleh dari sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan.
Antigen dalam vaksin berfungsi untuk merangsang sistem daya lawan jangkitan tubuh membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus. Menurut sejarah, vaksin ditemui seawal 1774 bagi mencegah jangkitan cacar. Kemuncak kejayaan vaksin dalam mengawal penularan penyakit adalah pada 1977, di mana penyakit cacar akhirnya berjaya dibasmi secara menyeluruh di seluruh dunia.
Baru-baru ini isu vaksin kembali hangat diperkatakan akibat penularan Covid-19. Ada yang menyokong, namun tidak kurang juga yang sangsi. Namun yang demikian, di manakah kedudukan vaksin dari sudut hak asasi manusia dan perundangan?
PERSPEKTIF PERHUBUNGAN ANTARABANGSA
Secara amnya, terdapat banyak instrumen perundangan antarabangsa yang membicarakan soal rawatan kesihatan, seperti Kod Nuremberg dan Konvensyen Oviedo. Namun, instrumen perundangan utama yang membicarakan berkenaan dengan hal ini adalah Deklarasi UNESCO 2005.
Menurut Perkara 6 Deklarasi ini, persetujuan seseorang untuk menerima rawatan, (termasuklah vaksinasi) adalah perlu. Walaubagaimanapun, Perkara 6 Deklarasi ini dibataskan oleh peruntukan di bawah Perkara 27 Deklarasi yang sama iaitu persetujuan penerima rawatan tidak semestinya tidak diperlukan.
Hal ini kerana, Perkara 27 Deklarasi UNESCO 2005 menggariskan bahawa pemakaian prinsipal-prinsipal di bawah deklarasi ini boleh dihadkan atas sebab bagi melindungi kesihatan awam, dengan syarat ia memenuhi tuntutan-tuntutan yang tertentu di bawah Undang-Undang Hak Asasi Manusia Antarabangsa.
Antara syarat-syaratnya, sekatan tersebut haruslah mempunyai matlamat yang sah, diperundangkan, bagi memenuhi keperluan yang mendesak, dan haruslah berkadaran dengan matlamat asal sekatan.
JAMINAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
Penulis berpendapat, sekurang-kurangnya terdapat dua peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan isu rawatan kesihatan dan vaksinasi.
Peruntukan pertama ialah di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan mengenai jaminan terhadap kebebasan diri dan perlindungan nyawa.
Menurut keputusan Mahkamah dalam kes Tan Tek Seng v Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, istilah “nyawa” di bawah Perkara 5 turut meliputi jaminan terhadap perlindungan kesihatan yang baik. Perkara 5(1) juga menggariskan kebebasan dan jaminan yang di atas boleh dihadkan sekiranya ada undang-undang yang membataskannya.
Seterusnya, Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesamarataan. Konsep kesemarataan dalam hal ini mungkin boleh dicerminkan melalui kesemarataan terhadap akses rawatan dan vaksinasi tanpa mengira pangkat,darjat, kepercayaan, bangsa dan status ekonomi.
Secara umumnya, Malaysia tidak mempunyai akta atau undang-undang khusus yang menyelia perkara-perkara yang berkaitan vaksin dan vaksinasi.
Dalam hal ini, undang-undang lain yang berkaitan diguna pakai bagi memenuhi lompong undang-undang sedia ada.
Misalnya, Akta Kanak-Kanak 2001 kerap digunakan bagi mewajibkan vaksinasi terhadap kanak-kanak di Malaysia. Undang-undang lain yang berkaitan adalah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Namun, akta ini lebih bersifat umum dan tidak begitu memfokuskan terhadap aspek vaksinasi.
Dalam soal ini penulis berpandangan Malaysia agak terkebelakang dalam aspek perundangan vaksin dan vaksinasi dibandingkan dengan negara-negara maju. United Kingdom (UK). UK mempunyai undang-undang berkaitan pembangunan vaksin dan vaksinasi sejak tahun 1840 lagi.
Terbaharu, Akta Koronavirus 2020 digubal di UK bagi mengawal pandemik termasuklah merangkumi program vaksinasi. Walaupun begitu, UK masih tidak mewajibkan pengambilan vaksin dalam kalangan rakyatnya, seperti negara Eropah yang lain seperti di Perancis, Jerman dan Itali.
Cadangan untuk menggubal sebuah Akta yang mewajibkan vaksinasi di Malaysia terutama dalam kalangan kanak-kanak secara amnya dimulakan pada 2016.
Namun pada 2019, Kementerian Kesihatan berpendapat undang-undang sedemikian tidak perlu kerana kadar pematuhan terhadap penerimaan vaksin rakyat adalah melebihi 95%.
Walaupun begitu, penulis berpendapat, kadar peratusan penerimaan vaksin mungkin berbeza selepas dunia menghadapi pandemik Covid-19.
Ini kerana, banyak kelompok masyarakat yang masih sangsi dengan keberkesanan dan gusar dengan kemungkinan kesan sampingan vaksin Covid-19 yang sedia ada.
Malah, tidak kurang juga yang mempersoalkan keselamatan dan kesucian kandungan vaksin-vaksin tersebut. Penyebaran aklumat-maklumat palsu berkaitan vaksin Covid-19 turut mengurangkan keyakinan masyarakat terhadap vaksin-vaksin yang telah atau sedang dibangunkan.

AKTA KHUSUS
Oleh itu, satu akta khusus berkaitan dengan vaksin haruslah digubal di negara ini. Melalui akta ini, ia mampu menjamin akses vaksin yang sama rata tanpa ada sebarang diskriminasi dalam masyarakat.
Akta ini juga haruslah bertindak sebagai mekanisme perundangan yang menjamin kejujuran dan ketelusan semua pihak yang terlibat. Ini termasuklah penerima vaksin, pembangun vaksin, penyedia penjagaan kesihatan dan juga kerajaan.
Maklumat-maklumat berkenaan vaksin dan program vaksinasi haruslah diberikan dalam format dan bahasa yang difahami bagi menjamin keberkesanan dan keselamatan vaksin tersebut.
Protokol dan prosedur vaksinasi haruslah dimaklumkan secara jelas dan difahami oleh penerima vaksin, dan dalam pada masa yang sama penerima vaksin harus memberikan maklumat latar belakang kesihatan yang tepat kepada pihak berwajib.
Akta ini juga boleh berperanan untuk mengawal aspek pengedaran dan pengagihan vaksin, sekali gus mengelakkan manipulasi harga yang berlebihan bagi mengaut keuntungan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Dalam pada itu, akta ini juga haruslah mempunyai remedi-remedi perundangan tertentu bagi melindungi pihak-pihak berkaitan sekiranya ada kecuaian, pelanggaran syarat dan sebagainya.
Selain itu, akta ini juga boleh menyentuh soal tatacara khusus pembangunan vaksin, sekali gus menyediakan landasan kepada Malaysia untuk menjadi salah satu negara pembangun vaksin di masa akan datang.
Di samping itu, pihak berwajib harus mengambil peluang melalui Proklamasi Darurat baru-baru ini bagi mengawal pandemik Covid-19. Proklamasi Darurat menjustifikasikan penggubalan undang-undang dalam bentuk Ordinan bertujuan mengawal pandemik tanpa perlu melalui proses-proses perundangan kebiasaan di Parlimen.
Namun harus ditegaskan, menggubal undang-undang melalui Ordinan Darurat hanyalah memberi penyelesaian jangka pendek. Ini kerana menurut Perkara 150(7) Perlembagaan Persekutuan, ordinan tersebut akan terbatal secara sendirinya selepas enam bulan sesebuah Proklamasi Darurat tersebut dibatalkan.
KESIMPULAN
Penggubalan sebuah Akta khusus berkenaan vaksin dan vaksinasi adalah perlu bagi menjamin akses dan keberkesanan vaksin tersebut untuk jangka masa panjang.
Sekurang-kurangnya akta ini mampu membina keyakinan dan menghilangkan keraguan disebabkan penyebaran maklumat-maklumat palsu yang semakin menular dalam masyarakat.
Penulis juga berpendapat, golongan akademik dan kerajaan haruslah lebih giat memainkan peranan bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem kesihatan awam dapat dipulihkan, dan pada masa yang sama memastikan keselamatan rakyat terjamin.
Akhir kata, penulis berpendapat aspek kesihatan, penerangan dan pendidikan haruslah berjalan seiring dengan aspek perundangan bagi membasmi mana-mana penyakit berjangkit termasuklah Covid-19.
- Dr. Hafidz Hakimi Haron, Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Multimedia, Kampus Melaka











