Bila masuk sahaja musim cuti sekolah, suasana rumah automatik berubah jadi ‘zon perang’.
Kalau hari biasa ibu ada sedikit masa untuk tarik nafas selepas anak ke sekolah, cuti sekolah pula seolah-olah datang dengan pakej bunyi bising tanpa henti, rumah berselerak dan soalan yang diulang 20 kali sehari iaitu ‘Mak, hari ini nak makan apa?’
Ramai ibu berseloroh mengatakan mereka akan bertukar jadi ‘singa’ bila anak-anak mula bercuti. Mana tidaknya, baru pukul 8 pagi ruang tamu sudah macam tapak perkhemahan, dapur pula tak pernah sunyi daripada bunyi peti ais dibuka tutup.
Ada sahaja yang diminta. Sekejap lapar, sekejap bosan, sekejap bergaduh sesama adik-beradik.
Belum masuk episod anak bangun tidur lambat, mandi entah bila dan kerja rumah yang asalnya kemas tiba-tiba jadi huru-hara dalam masa lima minit.
Ibu pula dari pagi sampai malam asyik mengemas, memasak dan melayan pelbagai ragam kecil yang kadang-kadang boleh buat kepala ‘berasap’.
Ada ibu mengaku waktu cuti sekolah inilah tenaga mental paling banyak digunakan.
Penatnya bukan sekadar fizikal, tapi jenis penat yang buat seseorang rasa drained out. Kadang-kadang baru duduk sekejap, sudah terdengar suara memanggil dari hujung rumah.
Belum sempat habiskan secawan kopi, kopi pun sudah sejuk.
Namun di sebalik segala kekecohan itu, terselit satu perkara yang ramai ibu bapa diam-diam sedar iaitu inilah fasa yang suatu hari nanti pasti akan dirindui.
Anak-anak bukan akan kecil selamanya. Hari ini mereka berebut alat kawalan televisyen, esok lusa mungkin masing-masing sibuk dengan dunia sendiri.
Hari ini rumah riuh dengan suara mereka berlari dan ketawa, nanti akan tiba masa rumah jadi lebih sunyi kerana mereka sudah membesar.
Ragam yang hari ini membuat ibu hampir hilang sabar, sebenarnya mencipta memori paling berharga dalam hidup sebuah keluarga.
Gelak tawa mereka, soalan pelik yang tak berhenti-henti, pelukan manja secara tiba-tiba dan semua itu perlahan-lahan akan berkurang apabila mereka melangkah ke alam remaja dan dewasa.
Sebab itu ramai ibu bapa akhirnya belajar menikmati kekecohan kecil ini walaupun penat.
Kerana suatu hari nanti, bila anak-anak sudah besar, rumah yang pernah terasa terlalu bising itu mungkin akan jadi tempat yang paling sunyi.
Dan pada waktu itu, singa yang pernah mengaum kerana stres melayan anak pada cuti sekolah, sebenarnya akan paling kuat merindui semua ragam kecil tersebut.
-Adlinahani Khalil ialah Pengarang Berita Gaya Utusan Malaysia.










