Soalan:
Lima tahun berkahwin, dikurniakan seorang cahaya mata. Namun kebahagiaan tergugat apabila suami curang dengan rakan sekerja, seorang janda dua anak. Bila terbongkar, dia merayu, memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulanginya. Tapi bolehkah kepercayaan itu dipulihkan?
Isteri kecewa
Jawapan:
Kesejahteraan rumah tangga memerlukan kerjasama kedua-dua pihak. Jika hanya seorang yang berusaha, hubungan itu ibarat bertepuk sebelah tangan. Pengkhianatan pasangan bukan sahaja melukakan perasaan, malah meninggalkan kesan emosi yang mendalam. Keputusan untuk memaafkan atau tidak memerlukan ketenangan hati dan fikiran, bukan dibuat kerana tekanan atau rasa bersalah semata-mata. Berikut beberapa panduan yang boleh dipertimbangkan:
Akui perasaan anda – Jangan menafikan perasaan marah, sedih, kecewa yang dirasai. Menyedari dan mengakui emosi sendiri adalah langkah pertama untuk anda memahami keperlukan serta had emosi yang diperlukan bagi membantu proses pemulihan.
Elakkan Keputusan tergesa-gesa – Jangan terburu-buru membuat keputusan besar dalam hidup. Beri masa kepada diri sendiri untuk menilai setiap keputusan yang bakal diambil. Keputusan yang dibuat dalam keadaan tenang membantu anda berfikir dengan lebih rasional sama ada hubungan ini masih selamat dan sihat untuk masa hadapan.
Berbincang secara jujur – Jika anda memilih untuk memberi peluang, berbincanglah secara terbuka dengan pasangan tentang punca kecurangan, had dan batasan di tempat kerja, serta usaha bersama untuk membina semula kepercayaan. Komunikasi yang jelas membantu anda membuat keputusan yang matang dan mengelakkan salah faham berulang.
Tetapkan sempadan – Nyatakan dengan jelas apa yang anda perlukan untuk berasa selamat dan dihargai, seperti ketelusan penggunaan telefon, kejujuran tentang waktu kerja, atau mendapatkan perkhidmatan kaunseling keluarga. Sempadan ini membantu mengurus risiko kekecewaan pada masa hadapan.
Cari sokongan – Berbincang dengan sahabat yang dipercayai, ahli keluarga atau kaunselor dapat membantu anda memproses perasaan dan mendapatkan perspektif yang lebih positif. Ini penting supaya anda tidak terperangkap dalam kesunyian dan rasa bersalah selepas menerima semula pasangan.
Fokus pada diri sendiri dan anak – Kesejahteraan emosi anda dan anak perlu diutamakan. Jangan biarkan trauma akibat kecurangan mengganggu kehidupan harian dan hubungan dengan anak. Aktiviti yang membina dan menyihatkan mental dapat membantu anda pulih sedikit demi sedikit.
Kesimpulannya: pengkhianatan bukanlah penamat segalanya, namun proses untuk anda kembali sembuh. Apa jua keputusan yang diambil, pastikan ia dilakukan demi kesejahteraan emosi anda dan anak, bukan sekadar untuk meredakan perasaan buat sementara waktu.










