Toleransi dulu,baru sefahaman

Toleransi dulu, baru sefahaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minggu ini, perhatian ramai terarah kepada tiga kes perceraian selebriti, termasuk dari negara jiran.

Tetapi yang paling hangat diperkatakan ialah pasangan, Kamal Adli dan Uqasha Senrose.

Punca perpisahan mereka dikaitkan dengan tiada persefahaman.

Alasan ini lazim kita dengar apabila rumah tangga mulai retak.

Sebenarnya, bukan sekadar persefahaman yang menentukan kekuatan sebuah rumah tangga.

Sebaliknya, toleransi dan komunikasi adalah kunci sebenar untuk mengekalkan keharmonian.

Persefahaman semata-mata bermakna kita hanya faham perasaan atau pandangan pasangan, tetapi itu tidak menjamin hubungan bertahan.

Toleransi pula membolehkan kita menerima perbezaan, bersabar menghadapi karenah pasangan dan berusaha mencari titik persefahaman secara berterusan.

Apatah lagi, perkahwinan bukan tentang sentiasa sependapat, tetapi mampu hidup berdampingan walaupun berbeza pandangan.

Saya masih ingat pesanan seorang pakar rumah tangga yang ditemu bual beberapa bulan lalu.

Katanya, tanpa toleransi, sukar pasangan menghadapi konflik atau situasi mencabar.

Akibatnya, hilang rasa hormat, kasih sayang dan rasa selamat yang menjadi asas sebuah rumah tangga bahagia.

Namun, ramai pasangan muda hari ini menganggap persefahaman sebagai ukuran utama.

Apabila berlaku sedikit perbezaan, mereka mula rasa tidak serasi.

Sedangkan, perbezaan adalah lumrah dalam setiap hubungan.

Rahsia kekal bahagia bukan terletak pada seberapa banyak kita memahami pasangan, tetapi seberapa besar kita bersedia bertolak ansur dan menghormati perbezaan itu.

Selain toleransi, komunikasi terbuka juga memainkan peranan penting.

Pasangan yang berani berkongsi perasaan tanpa takut dihakimi biasanya lebih mudah mencari penyelesaian.

Mereka tidak menunggu masa yang tepat untuk bercakap, tetapi menjadikan dialog jujur sebagai rutin harian.

Gabungan toleransi dan komunikasi yang berkesan inilah yang membolehkan rumah tangga berkembang dan mampu menghadapi tekanan hidup.

Malah, pasangan yang saling toleransi mampu menjadikan konflik sebagai peluang untuk memperkukuh hubungan, bukannya punca perpisahan.

Contohnya, perbezaan cara mendidik anak atau pengurusan kewangan bukan lagi sumber pertengkaran, tetapi ruang untuk belajar dan saling menyesuaikan diri.

Sikap toleransi menjadikan setiap cabaran sebagai latihan kesabaran, bukannya batu penghalang kepada kebahagiaan.

Maka, dalam banyak kes, toleransi lebih penting daripada sekadar persefahaman.

Ia membentuk asas yang kukuh bagi rumah tangga harmoni, di mana kasih sayang, hormat-menghormati dan kesabaran menjadi pengikat utama dalam kehidupan bersama.

Hakikatnya, rumah tangga bahagia bukan merujuk pada mereka yang sentiasa sependapat, tetapi yang mampu menerima perbezaan dengan hati terbuka serta bekerjasama membina kehidupan penuh kasih sayang.

-Rosalinda Md. Said adalah wartawan Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×