SOALAN
Cara hadapi kehilangan orang tersayang? Saya baru tahu kawan baik saya sudah meninggal selepas panggilan dan mesej tidak berjawab. Saya berasa hilang arah. Apa yang patut dibuat?
-Yang hilang
JAWAPAN
Kehilangan insan tersayang merupakan antara pengalaman paling sukar dalam hidup.
Ia bukan sekadar kehilangan fizikal, tetapi juga kehilangan sumber kekuatan diri.
Kesedihan berpanjangan boleh menggugat emosi, tumpuan dan semangat hidup, malah jika tidak diurus dengan baik, ia boleh membawa kepada kemurungan.
Namun, proses berduka adalah sesuatu yang normal.
Paling penting ialah belajar mengurus emosi agar tidak terus tenggelam dalam kesedihan.
Berikut beberapa tip untuk panduan anda:
a)Beri ruang kepada diri – Terimalah segala perasaan yang hadir. Menangis, bersedih atau marah bukan tanda lemah, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada proses penyembuhan. Memaksa diri untuk kelihatan kuat hanya akan menambah beban yang ditanggung.
b)Cari tempat meluah – Belajar meluahkan emosi yang terpendam. Kongsi perasaan dengan orang yang dipercayai. Jika sukar untuk berbicara, luahkan melalui tulisan di jurnal. Meluahkan lebih baik daripada memendam, kerana ia dapat melegakan hati.
c)Cipta memori bermakna – Hargai setiap kenangan indah bersama insan yang telah pergi. Fokus pada kebaikan dan momen bahagia yang pernah dikongsi. Jadikan kenangan itu sumber kekuatan agar perjalanan hidup tidak terasa kosong.
d)Jaga kesihatan – Kesihatan diri tetap perlu dijaga. Pastikan makan, tidur dan rehat teratur kerana tubuh yang lemah boleh membuatkan emosi semakin rapuh. Lakukan aktiviti ringan seperti berjalan, bernafas perlahan atau mendengar muzik tenang untuk meredakan tekanan.
e)Dapatkan sokongan profesional – Jangan harungi kesedihan seorang diri. Dapatkan sokongan keluarga, rakan, kaunselor atau kumpulan sokongan yang memahami perasaan kehilangan. Mereka mungkin tidak dapat menggantikan insan yang telah pergi, namun boleh memberi kelegaan dan ketenangan.
f)Kuatkan hubungan spiritual – Bacaan doa dan al-Fatihah untuk arwah boleh menjadi sumber ketenangan hati. Yakinlah setiap kehilangan adalah ujian daripada Allah, dan pertemuan di akhirat kelak menjadi harapan yang menenangkan jiwa.
Kehilangan orang tersayang sememangnya meninggalkan luka mendalam.
Namun, terimalah emosi itu dengan tenang, luahkan dengan cara sihat dan terus jaga diri.
Setiap langkah kecil menuju penerimaan adalah tanda anda sedang sembuh dan belajar untuk terus melangkah ke hadapan.










