SOALAN
Saya anak sulung daripada empat beradik dan baru mendapat kerja dengan gaji bulanan RM2,500. Ayah minta beri RM1,000 sebulan padanya. Dengan komitmen rumah sewa, motor, pinjaman PTPTN, sara hidup di Kuala Lumpur, saya buntu sangat! Tidak tahu bagaimana nak beritahu ayah. Sikit-sikit bolehlah bantu ikut kemampuan.
-Kakak dilema.
JAWAPAN
Anak sulung sering dianggap sebagai tulang belakang keluarga, terutama setelah mereka bekerja.
Dilema antara komitmen diri dengan membantu keluarga kadangkala boleh menimbulkan konflik dalam keluarga.
Dalam situasi ini, penting untuk mencari cara menghulurkan bantuan mengikut kemampuan tanpa menjejaskan kewangan peribadi.
Berikut beberapa cara yang boleh dipertimbangkan:
a)Berbincang dengan keluarga – Cari masa yang sesuai untuk berbual dengan ayah. Terangkan keadaan kewangan anda secara realistik. Jika perlu, tunjukkan pecahan gaji dan perbelanjaan bulanan supaya ayah faham nilai RM1,000 sebulan terlalu tinggi.
b)Tawaran ikut kemampuan – Tawarkan jumlah lebih rendah antara RM300 ke RM500 sebulan atau cadangkan bantuan lain seperti membeli barang dapur atau bayar bil-bil di rumah. Yang penting, jangan berhenti secara mengejut, ayah mungkin akan lebih marah atau kecewa.
c)Minta sokongan – Jika ada adik-beradik lain sudah bekerja, bincang dengan mereka untuk berkongsi tanggungjawab. Jika mereka belum bekerja, boleh minta mereka bantu dengan cara lain seperti menjaga keperluan rumah dan berjimat-cermat.
d)Gunakan orang tengah – Jika ayah tetap dengan pendiriannya, cuba minta bantuan ibu, bapa saudara, atau seseorang yang dipercayai untuk menyampaikan perkara ini kepada ayah.
e)Letak batasan – Jika ayah masih mendesak, bertegaslah dengan pendirian anda. Beri sumbangan mengikut kemampuan dan jangan sampai membebankan diri. Jangan rasa bersalah jika tidak mampu memenuhi permintaan ayah.
f)Fokus simpanan – Usaha untuk menambah pendapatan, seperti bekerja sampingan atau berniaga kecil-kecilan. Simpan sedikit duit untuk diri sendiri supaya tidak terus tertekan jika ada keperluan mendadak.
g)Berdoa – Berdoalah supaya hati ayah dilembutkan dan dapat memahami situasi anda. Minta petunjuk Allah dalam menyelesaikan perkara ini dengan baik tanpa menjejaskan hubungan keluarga.
Kesimpulannya, membantu ibu bapa adalah satu tanggungjawab yang mulia, namun kesejahteraan diri sendiri juga perlu dijaga dengan baik.










