SOALAN:
Saya binggung apabila diberitahu rakan yang anak saya ada teman lelaki di sekolah. Sedangkan anak tidak pernah bercerita mengenainya Bagaimana perlu saya menasihati anak mengenai cinta?
-Ibu kecewa
JAWAPAN:
Ibu bapa model dan individu pertama membentuk asas keperibadian, nilai dan pandangan hidup anak-anak.Namun bila menginjak dewasa, persekitaran pula akan mula mempengaruhi kehidupan mereka mengikut peredaran masa.
Justeru, menguruskan anak yang sedang meningkat remaja menjadi cabaran kepada ibu bapa untuk terus menjaga hubungan dan kepercayaan dengan anak-anak.
Sebagai ibu, mendengar perkhabaran yang tidak baik tentang anak-anak sangat menggugat hati. Berikut beberapa batasan yang perlu difahami oleh anak-anak mengenai perhubungan supaya sebagai ibu bapa, mereka dapat menjadikan ia sebagai panduan dalam mendidik anak:
a)Berkomunikasi – Ibu bapa perlu berusaha mendekati anak sebaik mungkin. Usaha untuk mencipta suasana santai dan penuh sokongan apabila berbual dengan mereka. Elakkan daripada membangkang atau menegur semasa anak sedang bercakap. Dengari, fahami dan cuba untuk meletakkan diri pada situasi anak agar mereka rasa difahami.
b)Penting jaga maruah diri – Jelaskan kepada anak mengenai kepentingan menjaga maruah diri dalam apa jua perhubungan. Elakkan diri apabila terdapat interaksi yang melampaui norma, agama dan budaya dengan mereka yang berlainan jantina.
c)Hormati peraturan keluarga dan agama – Ajar anak-anak untuk memahami dan menghormati nilai keluarga dan agama seperti hubungan dan kemesraan di luar perkahwinan adalah dilarang dalam Islam.
d)Bersikap terbuka – Memberi galakan kepada anak-anak untuk sentiasa berkongsi perasaan dengan ahli keluarga. Ia secara tidak langsung dapat membantu memastikan anak-anak tidak terjebak dalam situasi sukar yang membahayakan diri mereka.
e)Media sosial – Jelaskan kepada anak-anak mengenai kebaikan dan keburukan media sosial. Hadkan masa untuk anak-anak bermain media sosial seperti berhubung dengan rakan-rakan melalui telefoh atau chat supaya mereka terbiasa dengan disiplin dalam keluarga.
f)Fokus pada pelajaran – Nasihati anak-anak supaya memberi perhatian kepada pelajaran. Ajar mereka untuk meletakkan target yang ingin dicapai dalam akademik mereka, sekali gus dapat membantu mereka lebih jelas dengan matlamat kehidupan yang ingin mereka capai.
Menghadapi situasi anak remaja dilamun cinta, memerlukan pendekatan yang bijaksana dan terbuka daripada ibu bapa. Elakkan berputus asa dan usahakan yang terbaik untuk masa depan anak-anak. Hal itu kerana masa depan mereka bergantung pada tindakan ibu bapa hari ini.










