TAJUK kolum ini mungkin mendapat tentangan daripada ramai orang yang tidak bersetuju dengannya.
Lebih-lebih lagi ramai dalam kalangan kita merasakan kerja mengajar dan membaca adalah tugas cikgu, bukannya ibu bapa.
Namun kalau diamati, ramai yang sebenarnya tidak perasan, kelekaan kita dalam gaya hidup semasalah yang memungkinkan kita menjadi punca anak terabai.
Dulu ada banyak buku mengajar anak membaca dan salah satu daripadanya ialah siri Bacalah Anakku.
Sekitar tahun 2000 dulu buku ini memang ada di setiap rumah. Kata orang kalau tidak beli dan simpan di rumah, alamatnya lambatlah anak-anak tahu membaca.
Waktu itu, satu kepantangan kalau anak masuk sekolah Tahun Satu belum boleh membaca. Barangkali hari ini ramai keluarga muda yang kononnya moden dan bijak, tidak lagi gemar membeli buku.
Kononnya atas alasan sayangkan alam sekitar yang tidak lagi berminat memegang buku. Mereka sebaliknya lebih selesa mengajar anak menggunakan tablet dan peranti pintar.
Buku, bahan bercetak yang bersumberkan pokok hanya untuk individu yang tidak sayangkan alam.
Terlupa agaknya kalau menggunakan peralatan elektronik itu lebih mencemarkan alam sekitar. Aduhai.
Bergantung kepada peranti ini bukan sahaja penat tetapi melekakan. Penat sebab baterinya perlu dicaj.
Melekakan sebab ada sahaja yang menarik untuk dibelek-belek dan menarik pengguna untuk ke laman hiburan atau membeli belah.
Bayangkan kalau ibu bapa kena mengajar anak sendiri dengan peranti yang canggih ini? Kalau tidak anak yang leka, ibu bapa yang akan hanyut dengan kecanggihannya.
Percayalah, sebab saya pun ibu dan sudah pun melalui pengalaman itu. Maka tidak hairanlah bila baru-baru ini dilaporkan seramai 122,062 murid Tahun Satu sesi 2024/2025 dipilih bagi mengikuti Program Intervensi (literasi dan numerasi) bermula bulan lalu bagi membantu mereka menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).
Jumlah itu mewakili 27.2 peratus daripada keseluruhan 448,113 murid Tahun Satu di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, seramai 62,928 murid dikesan belum menguasai literasi dan numerasi; 45,465 murid belum menguasai literasi manakala 13,669 murid pula belum menguasai numerasi. Begitupun, tidak tahu membaca bukan tanda bencana.
Masih banyak ruang dan jalan boleh diambil dalam menangani isu ini.
Sokongan masyarakat termasuk ibu bapa sendiri dan pihak berkepentingan lain perlu ada bagi memastikan inisiatif ini berjaya.
Kalau saya bercakap mengenai kaedah orang duludulu mengajar anak membaca menggunakan buku dan kad, ada yang kurang setuju, itu lumrah.
Tetapi apa salahnya ikut kalau cara lama sekiranya ia lebih praktikal dan memberikan jaminan dalam membantu anak-anak kita menjadi lebih cerdik dan paling penting bijak berfikir?
-Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia










