HARI ini, selain berkelakuan tidak senonoh di tempat awam, papan amaran untuk meletakkan telefon pintar pada silent mode amatlah diperlukan.
Pening kepala apabila berada di tempat yang seharusnya senyap, tetapi bertingkah-tingkah dengan suara ceramah agama, suara instafamous sedang mengajar memasak dan segala-gala bunyi yang keluar daripada pemilik telefon pintar yang suka mendengar video atau bunyi menerusinya.
Awak khusyuklah mendengar apa yang ada di tangan, tetapi tidak sedar atau sengaja membuatkan orang sekeliling ‘pening’ dengan pencemaran bunyi itu.
Bayangkan kalau sedang berada dalam perut pengangkutan awam yang bising dengan bunyi enjin dan relnya, ditambah pula dengan bunyi yang keluar daripada telefon, memang boleh buat diri rasa tertekan.
Itulah yang saya lalui hampir setiap hari sewaktu menggunakan pengangkutan awam atau sedang mendapatkan perkhidmatan di bank, klinik atau tempat awam.
Tidak kira bangsa, masing-masing ada perangai sama, seolah-olah ingin berkongsi apa yang didengari itu dengan orang lain sedangkan kita mahukan suasana yang senyap dan mendamaikan.
Berlawan-lawanan antara satu sama lain, dek kerana mendengar tidak menggunakan fon telinga.
Apalah salahnya kalau laburkan sedikit wang untuk membeli peralatan itu bagi menghormati orang sekeliling?.
Saya kira sudah sampai masanya papan-papan tanda meletakkan telefon dalam mod senyap ditepek merata-rata tempat, bagi mengajar pemilik telefon untuk lebih tahu menghormati tempat.
Apa yang menjadi kerisauan ialah bila ada dalam kalangan ibu bapa yang tanpa rasa segan silu dan rasa bersalah, tidak menegur pun anaknya yang sedang menggunakan telefon dengan volum kuat.
Kalau sedari kecil tidak didik dengan erti kesopanan, di mana mereka mahu kutip nilai murni itu.
Perkara lain yang saya perasan ialah mengenai instafamous atau pempengaruh yang suka terjerit-jerit sewaktu membuat konten di media sosial.
Perlu ke menarik perhatian dengan lagak sebegitu sebab ia tak memang tak sopan.
Atau rata-rata pengikutnya berdepan masalah pendengaran hingga kena bercakap kuat-kuat?.
Cukup-cukuplah terjerit-jerit.
Kalau saya dengar orang terjerit-jerit, tangan saya akan cepat-cepat swipe ke tempat lain.
Jiwa jadi serabut bila dengar rentak suara sebegitu.
Apa yang lebih mustahak, setiap orang bukan sahaja perlu menjaga telinga daripada sesuatu yang boleh menjejaskan kesihatan pendengarannya, tetapi peti suara pun kena jaga supaya tidak rosak.
Kalau tidak, muda-muda lagi akan berdepan masalah kemerosotan pendengaran dan suara.
Kalau serentak bermasalah bagaimana? Baik pergi cek sebelum terlambat.
-Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana Utusan Malaysia










