TIGA srikandi Seri tampilkan minggu ini cukup memberikan inspirasi. Mereka antara penerima Merdeka Award Trust 2024, iaitu Datuk Faridah Merican, Prof. Joy Jacqueline dan Dr. Kathryn Anne Rivai.
Mereka sudahpun membuktikan sumbangan cemerlang itulah sebagai ukuran sebenar kecintaan yang tidak berbelahbahagi demi tanah air tercinta.
Berlainan bidang namun persamaan dimiliki ialah kesungguhan dalam meraih pencapaian membanggakan demi negara.
Menariknya, hasil kerja kerasnya itu turut, memberi impak dan manfaat kepada masyarakat.
Memang, dalam setiap perjuangan itu perlu melalui banyak cabaran, lebih-lebih lagi dengan status isteri dan ibu yang digalas di bahu.
Namun status itu bukanlah alasan untuk menarik diri dan berkata tidak dalam usaha membina masyarakat dan negara.
Sebaliknya keluarga dan komuniti itulah yang dijadikan aset dan pencetus kejayaan.
Dia lainlah, aku lain. Aku ini ada anak kecil. Aku ini ada suami dan anak-anak perlu dijaga.
Alasan-alasan inilah yang selalu wanita suarakan kalau ingin membandingkan diri dengan orang lain yang lebih sukses.
Tidak perlu bercakap mengenai anugerah atau pencapaian yang hebat-hebat, kalau kita menjadikan keluarga sebagai perencat atau halangan, memang kita tidak akan ke mana. Buat malu sahaja.
Hakikatnya, berilah 1,001 alasan sekalipun, selagi beralasan, kita akan terus ketinggalan daripada pelbagai segi.
Saya katakan begini lantaran akhir-akhir ada segelintir keluarga muda yang menjadikan anak dan keluarga sebagai halangan menceburi bidang pekerjaan.
Memetik kadar penyertaan tenaga buruh wanita dalam sektor pekerjaan di negara ini, ia masih jauh ketinggalan berbanding tenaga buruh lelaki.
Malah Presiden The Muslim World Women’s Summit, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, mendedahkan sehingga Jun tahun lalu, hanya 56.3 peratus wanita memasuki sektor pekerjaan berbanding lelaki pada kadar 82.9 peratus.
Laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 2022, pula mendedahkan Malaysia berada di tangga ke lapan daripada 10 negara ASEAN, seperti Laos 74.8 peratus, Kemboja 74.0 peratus, Vietnam 69.6 peratus, Singapura (59.4 peratus) dan Thailand (59 peratus).
Kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif meningkatkan penyertaan wanita dalam pekerjaan seperti melanjutkan galakan cukai bagi wanita yang kembali bekerja sehingga 31 Disember 2027 dan had pengecualian cukai pendapatan ke atas elaun penjagaan anak.
Malah ada sasaran penyertaan tenaga kerja wanita dalam pelbagai sektor perlu ditingkatkan kepada 60 peratus menjelang tahun ini. Namun kalau kita terus beralasan, adakah ia mampu direalisasikan?
-Nor Afzan Mohamad Yusof Pengarang Rencana Utusan Malaysia










