SOALAN
IBU mentua berusia 45 tahun dan sangat baik. Setiap kali balik kampung, ibu lebih suka melihat saya berehat daripada membantunya di dapur. Adakah itu normal? Saya sudah lima tahun berkahwin dan balik kampung dua bulan sekali.
-PUAN KELIRU
JAWAPAN
Mendapat ibu mertua yang baik itu rezeki. Melayan dan menyayangi menantu seperti anak sendiri malah mungkin lebih dari anak sendiri.
Merujuk persoalan puan di atas, perbuatan itu adalah normal kerana ada segelintir ibu mentua suka melayan menantu dengan baik. Lebih selesa sekiranya menantu pulang ke kampung untuk berehat-rehat.
Memahami akan kepenatan anak menantu yang sudah bekerja dan menguruskan cucu-cucu mereka. Ruang dan peluang yang ada dimanfaatkan untuk merehatkan diri dari kelelahan menguruskan keluarga.
Situasi ini sebenarnya normal, namun ia juga bergantung pada personaliti serta pendekatan ibu mentua dalam memberi layanan terhadap menantu.
Ada beberapa kemungkinan kenapa ibu mentua puan sebegitu:
a)Menghormati tetamu: Sesetengah orang tua merasa bertanggungjawab untuk memastikan tetamu (termasuk menantu) berada dalam keadaan selesa dan tidak perlu bekerja keras semasa melawat mereka di kampung.
b)Suka kerja sendiri: Kebanyakan orang tua lebih selesa menguruskan perihal kerja di dapur bersendirian. Mereka lebih mengetahui selok belok barang-barang di dapur dan mungkin kurang selesa untuk memasak apabila ada orang yang memerhati atau menunggu didapur.
c)Kasih sayang dan perhatian: Ibu mentua mungkin ingin menunjukkan kasih sayang dan perhatian dengan cara memberi layanan terbaik sebagai sebahagian daripada ahli keluarga.
d)Budaya atau tradisi keluarga: Mengikut tradisi orang lama yang mana mereka mempunyai nilai keperibadian yang tinggi. Menghormati tetamu dan memastikan mereka selesa apabila bertandang ke rumah keluarga.
e)Sikap : Nilai diri yang baik sebagai ibu mentua. Tidak suka membebankan atau menyakiti menantu, lebih selesa dan seronok apabila dapat memastikan menantu selesa apabila pulang ke kampung.
f)Menghormati batasan: Ibu mentua yang sangat memahami dan menghormati batasan anak menantu. Tidak mencampuri urusan rumahtangga dan menghormati privasi mereka.
g)Fleksibel dan terbuka kepada perbezaan: Ibu mentua meraikan perbezaan cara setiap orang dibesarkan. Meraikan perbezaan dapat mengurangkan kon ik dan meningkatkan persefahaman antara mentua dan menantu.
Memiliki mentua yang baik menjadi idaman wanita. Oleh itu, raikan mereka dengan penuh kasih dan sayang, sentiasa tawarkan bantuan dan hargailah mereka dengan sebaik mungkin. Jaga perhubungan dengan baik kerana bukan semua orang mendapat keberuntungan seperti puan perolehi.










