Lebih akrab dunia maya berbanding keluarga sendiri?

Lebih akrab dunia maya berbanding keluarga sendiri?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BILA kali terakhir anda berhubung mesra dengan anak-anak dan ahli keluarga melalui telefon atau panggilan video?

Malam tadi atau bulan lepas? Bunyinya remeh sangatkan, tetapi itulah perkara paling penting dalam kita mengekalkan hubungan mesra bersama ahli keluarga yang kita cintai.

Khususnya bagi ahli keluarga yang tidak lagi tinggal sebumbung dengan kita atas pelbagai alasan. Menuntut ilmu atau mencari rezeki.

Bagi yang tidak biasa berbuat demikian dan berhubungan menggunakan peranti pintar ini, mungkin akan timbul rasa cuak, segan dan tak tahu nak bercakap mengenai topik apa.

Tapi percayalah, kalau ia dijadikan rutin harian, kita akan sama-sama rasa hari tidak lengkap kalau sehari tidak berhubung mesra antara satu sama lain.

Manfaatkanlah teknologi yang ada depan mata dengan berborak dan mengetahui perkembangan semasa masing-masing.

Soalan yang mudah-mudah sahaja seperti sudah makan atau makan apa. Senang dan mudah dijawab.

Daripada perbualan yang ringkas seperti itulah boleh mewujudkan rasa mesra. Bila mesra, apa sahaja perbualan kita akan senangi dan tidak kekok.

Saya bangkitkan hal ini sebab akhir-akhir ini banyak kes kematian mengejut berlaku.

Memang ajal di tangan Allah tetapi selagi ada masa dan waktu manfaatkanlah ia sebaik mungkin.

Sedih sungguh rasanya apabila berita penting seperti kehilangan nyawa itu, kita tahu lambat dan tidak berhubung antara satu sama lain.

Seorang kenalan saya menetapkan hanya seminggu sekali menghubungi ibu bapanya yang berusia emas di bandar S. Alasannya, ibu bapanya pasti selamat sebab di kampung, ibu bapanya tinggal bersama kakak sulungnya.

Terjaga kesihatan dan makan minum. Mana mungkin berlaku perkara di luar jangkaan.

Pesannya, kalau ada perkara mustahak, ibu bapa atau kakaknya itu hanya perlu kirimkan pesanan, gambar atau video di WhatsApp sebab dia selalu sibuk dengan mesyuarat.

Saya menasihatinya untuk berubah sikap. Kalau semudah itu yang boleh disarankan kepada kakak dan ibu bapanya, seharusnya semudah itu jugalah dirinya berhubung dengan mereka.

Dalam dunia canggih hari ini, serba-serbi senang dan mudah, semuanya di hujung jari. Telefon bukan berjam. Lima minit sehari pun sudah cukup.

Kita bukan di era 80an dulu yang kena keluar ke kedai runcit depan rumah dan cari telefon awam untuk menelefon ahli keluarga yang jauh.

Lagipun kita hubungi darah daging sendiri. Mengapa kalau ada gosip artis atau cerita hiburan, kita cepat sahaja nak tahu dan mahu selalu up to date? Tak rasa malukah kita ini lebih akrab dengan manusia di dunia maya berbanding ahli keluarga sendiri?

-Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×